KESUNGGUHAN dan kegigihan Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, menyelamat bukan sahaja bagaikan memberi 'nyawa baharu' tetapi budi yang tidak akan terbalas selamanya. Nordiana Alwani Jaafar, 33, seorang daripada mangsa kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, Kuala Terengganu pada Jumaat lepas berkata arwah adalah orang pertama yang muncul untuk menyelamat. Nordiana Alwani berkata beliau masih teringat-ingat bagaimana reaksi Allahyarham di dalam air yang bagaikan memberi semangat supaya menyelamatkan diri. "Paling tidak dapat dilupakan tindakan pantas menyelamatkan anak saya yang berusia tiga tahun," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, Ahad. Selain beliau, ibu tirinya, Suryati Rosli, 37, adik ibu tirinya, Asmaa Rusly, 23, anaknya, Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin, 3, dan adiknya, Safawani Jaafar, 11, berada di dalam kenderaan tersebut dan tiga daripada mereka berjaya diselamatkan oleh Allahyarham. Menceritakan kejadian tersebut, Nordiana Alwani berkata ketika itu apa yang difikirkannya hanyalah mati namun kehadiran Abdul Bari Asyraf menaikkan semangatnya dan perkara pertama yang dilakukan adalah menyerahkan anaknya yang berusia tiga tahun kepada arwah. "Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata sahaja kenderaan sudah tenggelam ke dasar. Kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke Sungai Terengganu pada malam Sabtu dilihat terapung. Foto Facebook "Selepas kereta terjunam ke dalam sungai, saya dan ibu tiri segera membuka tingkap di bahagian kiri dan kanan tempat duduk hadapan dan dalam masa sama nampak orang (Abdul Bari Asyraf) terjun ke sungai untuk membantu menyelamat,” katanya. Katanya ketika kejadian itu, arwah dilihat kepenatan tetapi tetap gigih meskipun berulang kali terjun ke sungai terutama apabila melihat orang awam lain yang turut sama menyelamat sudah mengalami kekejangan otot. Nordiana Alwani yang dibenarkan keluar dari hospital kira-kira 10 pagi tadi turut menemui keluarga arwah hingga menarik perhatian orang awam apabila dilihat menangis sambil memeluk keluarga terdekat arwah sambil mengucapkan permohonan maaf serta terima kasih berkali-kali. Ibu Abdul Bari Asyraf, Masitah Awang, 60, yang turut ditemui berkata walaupun sedih kehilangan anak ketiga daripada lapan anaknya itu, beliau tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya anaknya ditemukan dan dapat dikebumikan. Katanya, arwah yang masih bujang dan bekerja sebagai jurukimpal itu adalah seorang yang periang dan disenangi rakan dan taulan. "Meskipun hanya mampu melihat jasadnya yang kaku, tetapi saya tetap bersyukur kerana anak saya ditemui. Kami telah berkampung di lokasi kejadian sejak malam Jumaat dan akan pulang sekejap ke rumah pada awal pagi untuk solat Subuh sahaja," katanya. Jenazah Abdul Bari Asyraf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah di sini kira-kira pukul 2.30 petang Ahad. Suasana pilu menyelubungi hampir 500 anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung yang hadir. Sebelum itu, jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di masjid kampung sama selepas solat Zuhur. - BERNAMA