suria

Pemuda selamatkan empat sekeluarga daripada lemas, mati syahid - Mufti

Jenazah Abdul Bari selamat dikebumikan petang Ahad.

PEMUDA yang terkorban mati lemas kerana menyelamatkan empat sekeluarga dalam kenderaan pacuan empat roda yang terjunam di Sungai Terengganu, malam Sabtu diiktibarkan sebagai mati syahid.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pengorbanan Abdul Bari Asyraf Mohd untuk menyelamatkan mangsa-mangsa insiden berkenaan adalah amat mulia.

"Dan dengan izin-Nya, termasuk dalam kategori syahid, insyaAllah. Ini berasaskan kepada nas hadis Riwayat al-Bukhari bermaksud orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Abdul Bari Asyraf atas pemergiannya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Zulkifli turut mencadangkan agar keluarga Abdul Bari dan anggota penyelamat yang lain diberikan anugerah setimpal dengan keberanian dan akhlak mereka yang disanjung tinggi.

"Almarhum adalah anak muda yang wajar dijadikan contoh dengan akhlaknya yang terpuji.

"Alhamdulillah di sebalik musibah ini, Allah menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan semoga lebih ramai yang akan mencontohi almarhum," katanya.

Mayat pemuda berusia 31 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kawasan muka kuala Tanjung, Sungai Terengganu iaitu kira-kira 2.5 km dari lokasi kejadian kira-kira pukul 7.24 pagi Ahad.

Jenazah Abdul Bari Asyraf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu kira-kira pukul 2.30 petang Ahad.

Suasana pilu menyelubungi hampir 500 anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung yang hadir.

syahid, Abdul Bari, lemas

Artikel Lain