suria

Insiden SUV terhumban ke laut, pendandan rambut didakwa esok

PEMANDU kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di Km4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi 20 Januari lepas yang turut menyaksikan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 terhumban ke laut dan mengorbankan pemandunya akan didakwa pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata pemuda berusia 21 tahun tersebut akan dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak polis telah mendapat arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa lelaki yang bekerja sebagai pendandan rambut di salon milik ibunya itu esok," katanya di Bukit Mertajan, Pulau Pinang pada Ahad.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 2.54 pagi Ahad itu, Moey Yun Peng, 20 yang memandu SUV tersebut maut selepas kenderaannya terhumban ke laut akibat terbabit kemalangan dengan Toyota Vios berkenaan.

SUV dan mayat pelajar kolej swasta tersebut hanya dapat dikeluarkan dari dasar laut pada petang Selasa. - BERNAMA

SUV, Jambatan Pulau Pinang

Artikel Lain