suria

Sah suara audio milik Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

PAS mengesahkan rakaman audio perbualan seorang individu menyentuh isu Pas menerima dana daripada Umno memang suara milik Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata perkara itu telah diakui Nik Mohamad Abduh sendiri namun konteks sebenar perbualan tersebut tidak diambil secara keseluruhan.

"Memang dia (Nik Mohamad Abduh) akui suara dia, tetapi (dakwaan) tidak membawa konteks maksud sebenarnya, seperti PAS terima duit Umno, bukan itu sahaja.. banyak huraian lain.

"Untuk memahami konteks ayat audio itu, kita perlu meneliti keseluruhan dari minit pertama sehingga akhir barulah dapat difahami sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Al-Khatiri Kofee yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kubang Kerian, di Kota Bharu pada Selasa.

Isu rakaman audio yang didakwa suara Nik Mohamad Abduh ditimbulkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun beliau berkata perkara tersebut sebagai mengarut dan fitnah semata-mata.

Isu itu kemudiannya ditimbulkan semula selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan menyelesaikan kes samannya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah pada 2 Februari lepas.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata PAS tidak akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bagi memberi laluan kepada parti pembangkang lain termasuk Barisan Nasional (BN).

"Justifikasinya kerana kita mahu wujudkan solidariti pembangkang dalam negara kita termasuk di Selangor," katanya.

Katanya kerjasama politik PAS dan Umno untuk kepentingan Islam, Melayu dan perpaduan ummah dijangka akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 15. - BERNAMA

Nik Abduh, PAS, Umno

Artikel Lain