suria

Dr Mahathir terima anugerah pencapaian sepanjang hayat

Dr Mahathir menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang disampaikan oleh Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya (dua, kiri) pada Majlis Anugerah PETRONAS SIC Persatuan Permotoran Malaysia (MOM), malam Selasa. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (kiri), Anggota Lembaga Pengarah Persatuan Permotoran Malaysia, Datuk Mokhzani Mahathir (dua, kanan) serta Wan Zulkiflee (kanan). Foto Bernama

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas sumbangan bernilai dan sokongan yang berkekalan kepada industri sukan permotoran negara, pada Anugerah Sukan Permotoran Petronas Sepang International Circuit (SIC)-Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) 2018, malam Selasa.

Dr Mahathir adalah orang yang mula mengilhamkan idea untuk memiliki kereta nasional, seterusnya membuka jalan bagi pembangunan bakat dan teknologi tempatan dalam industri automotif, sekaligus merealisasikan pembinaan SIC dan meniupkan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menceburi sukan permotoran, baik di arena tempatan mahupun antarabangsa.

Dr Mahathir adalah penerima pertama Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang disampaikan pada Majlis Anugerah SIC-MAM edisi ketiga.

Ketua pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, ia berupa satu keistimewaan besar untuk memberi penghormatan kepada Dr Mahathir pada anugerah sukan permotoran utama Malaysia.

“Tun Dr Mahathir adalah satu-satunya orang yang bertanggungjawab terhadap cetusan idea itu yang memulakan evolusi sukan permotoran moden di Malaysia. Sejak kelahiran SIC pada 1999 dan memperkenalkan sukan Formula Satu di Malaysia, bakat sukan permotoran di Malaysia telah melakar kejayaan unggul di dalam dan luar negara.

"Dalam masa kurang daripada 20 tahun, kita telah melahirkan pelumba muda Malaysia yang beraksi di peringkat tertinggi dalam perlumbaan motor dunia seperti Alex Yoong dalam Formula Satu, Hafizh Syahrin dalam MotoGP dan pasukan pertama Malaysia iaitu Jazeman Jaafar, Nabil Jefri dan Weiron Tan dalam 24 Hours of Le Mans, " katanya ketika ditemui pada majlis itu di Kuala Lumpur, malam Selasa.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Wan Zukiflee yang juga Presiden Petronas turut mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir atas penerimaan anugerah tersebut.

"Bagi pihak Petronas, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas sokongan dan sumbangan yang berterusan ke arah pembangunan industri sukan permotoran di Malaysia," katanya.

Sementara itu, pelumba MotoGP Malaysia yang pertama, Hafiz Syahrin Abdullah menerima pengiktirafan tertinggi atas prestasi cemerlangnya dalam sukan permotoran dengan merangkul Petronas International Rider of the Year Award.

Penunggang kelahiran Selangor itu yang membawa kebanggaan dan kegembiraan sebagai rakyat Malaysia pertama yang cemerlang dalam kejohanan MotoGP Dunia kelas pertama musim lalu sementara Monster Yamaha Tech 3 turut membawa pulang Motorsports Peoples Choice Award.

Dalam pada itu, Jazeman dinobatkan sebagai International Driver of the Year tahun ini selepas kejayaannya dalam Kejohanan Enduran Dunia bersama dua orang lagi rakyat Malaysia, Nabil dan Tan.

Pemandu perlumbaan profesional Malaysia, Mark Darwin muncul sebagai SIC National Driver of the Year sementara pemenang Kejohanan Malaysia Superbike (MBSK) Terbuka 250 2017, Mohd Aiman   Tahiruddin meraih anugerah National Rider of the Year.

Panel hakim juga memilih Dream Chaser sebagai Pasukan Kebangsaan Terbaik untuk kategori pacuan empat roda manakala SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing memenangi anugerah Pasukan Kebangsaan Terbaik dalam kategori pacuan roda dua.

Malam anugerah itu juga mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada mereka yang terlibat dalam sukan permotoran Malaysia seperti Allen Oh, Ng Wei Leong, Jazeman, Nabil, Tan dan Kuan Huah Chin yang nama mereka akan terpahat dalam Dewan Kemasyhuran Sukan Permotoran Malaysia.

Upacara itu turut menyaksikan tiga pengamal media meraih anugerah iaitu Sukhairi Thani (Berita Harian) untuk Wartawan Terbaik dan Riduan Rizal Ahmad (Utusan Malaysia) untuk Jurugambar Terbaik manakala Hasnida Hanim Ahmad Kamil-Ahi Seregar (TV3) memenangi kategori Elektronik Terbaik. - Bernama

MAM, SIC, Dr Mahathir

Artikel Berikut

Sah suara audio milik Nik Abduh

Artikel Lain