suria

Ibu amah Indonesia diseksa hingga mati tuntut keadilan

Adelina Lisao didakwa diseksa majikannya di Pulau Pinang.

SETAHUN selepas kematian pembantu rumah Indonesia yang dipaksa tidur di luar bersama seekor anjing, ibunya tampil menuntut keadilan susulan beberapa kes penderaan lain di mahkamah Malaysia.

Kematian Adelina Lisao membangkitkan kemarahan orang ramai. Majikannya, seorang ibu dan anak perempuannya, didakwa di mahkamah kerana membunuh dan menggaji warga asing tanpa dokumen sah, tetapi perkembangan kes berkenaan agak perlahan.

"Sudah setahun saya kehilangan anak," kata ibu Adelina, Yohana Banunaek kepada pemberita pada Selasa, menerusi Skype dari bandar Kupang, Indonesia.

"Dia meninggal dunia bukan kerana sakit tetapi kerana diseksa," tambahnya sempena penghormatan kepada setahun pemergian Adelina.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran pada Selasa mengulangi bahawa Malaysia sedia untuk 'mengisytiharkan perang' terhadap pemerdagangan orang dan buruh paksa, sambil menambah bahawa kajian semula terhadap buruh sedang dijalankan.

Kematian Adelina merupakan antara kes penderaan pendatang berprofil tinggi di Malaysia, sebuah negara yang banyak bergantung kepada pekerja asing dalam pelbagai sektor, dari pembuatan kepada perladangan dan kerja-kerja domestik.

Malaysia mempunyai hampir dua juta pekerja asing, namun terdapat pihak yang menganggarkan berjuta lagi bekerja di negara ini secara haram, dengan kebanyakan mangsa pemerdagangan ditipu dengan janji bayaran lumayan.

Indonesia dan Kemboja, negara sumber utama pekerja asing kepada Malaysia sebelum ini mengadakan sekatan sementara kepada warga mereka daripada bekerja di Malaysia termasuk pembantu rumah berikutan pelbagai kes penderaan.

Adelina yang berusia 20an, diselamatkan dari rumah majikannya di Pulau Pinang pada 10 Februari tahun lalu, selepas jiran-jiran membuat laporan dia tidur di sebalah anjing di kawasan parkir kereta di rumah tersebut.

Dia ditemui dengan kesan lebam di muka dan meninggal dunia keesokan harinya, akibat kecederaan yang dialaminya.

"Selepas setahun, masih tak ada keadilan," kata pengarah eksekutif kumpulan hak pekerja asing Tenaganita, Glorene Das.

"Ini bukan kes yang terpencil. Kami mempunyai sejumlah kes yang difailkan di mahkamah membabitkan isu gaji yang tidak dibayar, dipecat tanpa sebab dan potongan... tetapi kes-kes tersebut masih di situ," katanya.

Malaysia pada bulan lalu memberitahu, ia memikirkan undang-undang yang berasingan untuk melindungi pekerja domestik.

Tenaganita menyambut baik langkah itu, yang menyifatkan kumpulan pekerja itu amat terdedah kepada buruh paksa disebabkan sifat mereka yang terpencil dalam isi rumah.

Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) 2018 meletakkan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Tier 2 iaitu peringkat kedua terendah, kerana tidak memenuhi piawaian minimum dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia. - Reuters

Artikel Sebelum

Artikel Lain