suria

PRK Semenyih: Zakaria calon BN, PH pilih Muhammad Aiman

Calon PRK Semenyih dari kanan Zakaria (BN) dan Muhammad Aiman (PH).

BARISAN Nasional (BN) menamakan Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Calon BN itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan di hadapan kira-kira 200 penyokong pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK berkenaan di sini.

“BN menamakan calon tempatan kerana kami tidak mahu payung terjun atau orang luar untuk beri saingan pada PRK ini,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman tersebut.

Zakaria, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Antara yang hadir Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan, Naib Presiden MCA Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PH merangkap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhammad Aiman, 30, merupakan seorang jurutera yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14), dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal 26 Februari dan pengundian pada 2 Mac.- Bernama

Calon PRK Semenyih

Artikel Lain