SEORANG penyokong Barisan Nasional (BN) rebah dan meninggal dunia semasa menunggu di luar pusat penamaan calon di Dewan Seri Cempaka di Semenyih pada Sabtu. Difahamkan, Mamat Awang berusia 59 tahun dari Kuala Terengganu itu, merupakan sebahagian daripada rombongan mengiringi calon BN, Zakaria Hanafi untuk memfailkan kertas pencalonannya. Bagaimanapun, dia secara tiba-tiba rebah pada kira-kira pukul 9.20 pagi dan doktor dari sebuah pusat kesihatan swasta kemudian mengesahkannya meninggal dunia. Punca kematian masih belum dikenal pasti. Jenazah dibawa ke Hospital Kajang. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff mengesahkan insiden tersebut. Turut difahamkan Zakaria ditemani timbalan pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berjumpa dengan keluarga Mamat di Hospital Kajang bagi mengucapkan takziah. - The Star