SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya terdapat usaha oleh dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk membentangkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata andaian yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengenai undi tidak percaya itu adalah fitnah serta bertujuan mengalihkan perhatian umum tentang skandal pemimpin PAS yang menerima wang daripada Umno. "Saya ingin menegaskan bahawa PH secara keseluruhan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan perdana menteri dan menolak sekeras-kerasnya sebarang andaian yang mengatakan sebaliknya. "Tidak ada satu parti komponen atau mana-mana pimpinan PH yang menyatakan tidak sokong atau mahukan undi tidak percaya ke atas kepimpinan Tun Dr Mahathir baik di dalam atau di luar mesyuarat Majlis Presiden PH," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Sebaliknya Lim berkata yang menentang kepimpinan Tun Dr Mahathir tidak lain adalah PAS sendiri. Pada Ahad, Takiyuddin menjelaskan perakuan bertulis yang berbentuk contoh yang diberikan kepada Dr Mahathir dalam pertemuan Jumaat lepas hanyalah komitmen sokongan PAS atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga Pilihan Raya Umum ke-15. Takiyuddin turut melahirkan sokongan terhadap kepimpinan Dr Mahathir sekiranya berlaku pengkhianatan di kalangan parti komponen PH. Lim meminta Takiyuddin menunjukkan bukti atas dakwaannya itu yang disifatkan sebagai berniat jahat. "Sekiranya beliau (Takiyuddin) gagal berbuat demikian, jelas terbukti beliau tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah dan hanya memainkan helah untuk mengelakkan isu sebenar iaitu politik sempit, pembohongan dan mencipta fitnah semata-mata untuk mengalihkan perhatian mengenai skandal wang pemimpin PAS," menurut kenyataan itu. - BERNAMA