SETIAP permulaan ada pengakhirannya begitu juga makhluk bernyawa pasti akan mati. Namun sejauh mana kita sudah bersiap sedia untuk itu? Lebih-lebih lagi persediaan pengurusan jenazah untuk kesenangan waris di kemudian hari. Atas inisiatif itu, Bank Muamalat dengan kerjasama syarikat pengurusan jenazah dan harta pusaka, Bumijez Sdn Bhd, membangunkan produk MJannah iaitu perkhidmatan pengurusan jenazah patuh syariah bagi meringankan beban waris pada hari berlakunya kematian. Produk berbentuk keahlian itu ditawarkan pada harga serendah RM59 setahun bagi individu manakala RM249 untuk pakej keluarga meliputi tujuh orang (suami isteri dan lima orang anak bawah 18 tahun). Terdapat juga pakej bagi ahli berumur 70 tahun ke atas dan mereka hanya perlu membayar wang keahlian sekali seumur hidup. Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhd, Khairul Kamarudin, sehingga hari ini seramai 4,500 pelanggan mendaftar keahlian mereka untuk produk tersebut. "Sejak produk ini ditawarkan pada Mac tahun lalu di semua cawangan 64 cawangan Bank Muamalat sambutan yang diterima amat menggalakkan dan diluar jangkaan. "Kami jangka permintaan terhadap produk ini akan terus meningkat. Jadi kami mensasarkan 450,000 pelanggan menjelang 2020. Insya-Allah sasaran itu boleh dicapai memandangkan populasi Malaysia 66.5 peratus adalah Bumiputera," katanya pada majlis perasmian setahun bersama M-Jannah di Purajaya pada Isnin. Daripada jumlah tersebut, beliau berkata keahlian individu lebih menjadi pilihan di samping pakej warga emas yang menunjukkan peningkatan. Khairul menandatangani replika kad sebagai gimik perasmian majlis. Berbeza dengan khairat kematian di masjid atau surau, Khairul berkata M-Jannah bukan sahaja menyediakan bantuan pengkebumian tetapi menawarkan wang khairat, zikir, tahlil dan khatam Al Quran. "Ini bermakna ahli bakal menikmati manfaat pengurusan jenazah lengkap bernilai RM1,500 manakala wang RM1,500 akan disalurkan dalam tempoh 24 jam kepada waris. "Selain itu ahli turut menerima manfaat penyediaan batu nisan, pusara serta khidmat badal haji. Ini bermaksud produk ini menjaga pelanggan itu sendiri sehinggalah ke pusara mereka," katanya. Jelas beliau lagi, setiap ahli M-Jannah turut mendapat pelbagai manfaat lain bergantung kepada pakej yang dipilih. "Manfaat akibat kemalangan maut (maksimum RM50,000), keilatan kekal atau separa kekal (maksimum RM50,000), tuntutan bil rawatan, tuntutan ambulans dan elaun hospital. "Ahli juga boleh menerima manfaat Real Reward dan diskaun 10 peratus untuk bil rawatan di Panel Klinik PCS Rakyat," katanya. Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Bumijez Sdn Bhd, Mohamad Zainal Khamis berkata menerusi rangkaian bersama lebih 1,000 pengurus jenazah di seluruh negara, keutamaan diberikan untuk menyegerakan tuntutan pengurusan jenazah lengkap dan mengikut hukum syarak. "Kehadiran kami bukan untuk menidakkan peranan badan-badan khairat dan juga pengurusan jenazah setempat tetapi lebih kepada melengkapkannya. "Ini kerana kami juga dapat menyalurkan kewangan segera 24 jam kepada pihak waris untuk menyempurnakan pengurusan jenazah ahli," katanya. Susulan itu, Mohamad Zainal berkata pelbagai program telah dirangka untuk menyedarkan masyarakat Islam mengenai kepentingan pengurusan jenazah supaya tidak membebankan waris. "Saya yakin semua masyarakat Islam mampu membayar caruman serendah RM59 yang dikenakan selama setahun. "Setakat ini kami dah jalankan amanah ini dengan baik. Kemudian kita akan susuli dengan wang khairat mengikut pakej yang diambil selepas 30 hari setelah waris menyerahkan sijil kematian," katanya. Pendaftaran keahlian M-Jannah boleh dilakukan di setiap 64 cwangan Bank Muamalat di seluruh negara dan potongan lima peratus diberikan bagi setiap pendaftaran dan pembaharuan dilakukan pada bulan ini.