suria

Jijik! Peti sejuk, dapur kotor punca restoran disita

PETI sejuk menyimpan makanan tidak diselenggara dengan baik selain keadaan tempat memasak terlalu kotor serta menjijikkan dan mengundang haiwan penyakit.

Begitu gambaran keadaan di tiga kedai makan sekitar Bandar Saujana Putra di sini, hingga memaksa Majlis Daerah Kuala Lumpur (MDKL) mengambil tindakan menyita premis di Jenjarom.

Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi berkata, dalam serbuan mengejut melibatkan beberapa agensi keajaan di 14 premis makanan sekitar kawasan itu, enam warga asing turut ditahan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan tersebut dua premis menjual makanan disita Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007, manakala sebuah lagi mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Terdapat peniaga dikenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007 kerana membuang cecair kotor terus ke dalam longkang.

"Secara keseluruhan, MDKL mengeluarkan 12 notis kesalahan, manakala Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langan mengeluarkan 23 notis," katanya dalam operasi yang disertai 41 anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi.

Mohd Yasin berkata, Jabatan Imigresen menahan warga asing atas kesalahan tidak memiliki pas sah untuk berada di Malaysia mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, ada warga asing melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di sebuah restoran.

"Dengan kepantasan anggota Imigresen, pendatang tanpa izin terbabit dapat ditahan di lorong belakang sebuah restoran," katanya.

Beliau juga kecewa dengan kedegilan sesetengah peniaga yang mengabaikan aspek kebersihan semasa penyediaan makanan di daerah ini.

Katanya, pihaknya menjalankan pemantauan dan operasi sebagai aktiviti rutin bagi memastikan kebersihan premis menjual makanan di tahap baik dan keselamatan makanan terjamin dalam usaha mengurangkan kadar insiden penyakit bawaan makanan dan air.-SinarHarian

MDKL, Yasin, Imigresen

Artikel Lain