EMPAT keping foto yang memaparkan bangkai memerang digantung oleh individu tidak bertanggungjawab tular di Twitter. Dimuat naik oleh akaun 999 Malaysia, foto itu memaparkan dua memerang mati yang sedang dihurung lalat. Sehingga kini, ia menerima lebih 6,000 ulang kicau (Retweet) dan lebih 2,000 tanda suka. "Mentaliti sesetengah masyarakat. Bagi penternak ikan mungkin memerang adalah haiwan perosak bagi mereka tetapi perlukah mereka dibunuh sebegini? "Sudahlah bunuh lepas tu digantung macam itu seolah-olah haiwan ini sangat hina," tulis pengendali akaun itu. Menerusi tweet susulan, pengendali itu mendakwa foto berkenaan dirakam dalam kejadian yang berlaku di Simpang Ampat, Pulau Pinang. "Bangkai pun dibiar macam itu memang mengundang pembiakan lalat di kawasan tersebut," tulisnya lagi. Rata-rata netizen yang membanjiri posting itu turut meluahkan rasa marah mereka terhadap kejadian berkenaan. "Ni dah kategori seksa binatang. Dosa besar," tulis @amirulamri202. "Jangan la seksa sampai macam tu sekali, aduh," tulis seorang lagi netizen. Selain Twitter, foto berkenaan turut tular di laman Facebook. - The Star.