suria

Kanak-kanak 9 tahun koma setelah basikal dirempuh keretapi

FOTO: Sinar Harian

SEORANG kanak-kanak berusia sembilan tahun koma selepas tayar belakang basikal yang sedang ditolaknya, dirempuh keretapi di Tok Uban, Pasir Mas petang Selasa.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.45 petang semasa Muhammad Amirul Hakimi Muhd Yuslizam, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Uban, melalui jalan kecil di situ sambil menolak basikalnya, melintasi landasan keretapi.

Rempuhan kuat pada bahagian tayar belakang basikal itu mengakibatkan Muhammad Amirul terpelanting ke atas batu dan mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Pasir Mas, ACP Abdullah Mohamad Piah, ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati semasa kejadian, keretapi itu bergerak dari arah Tanah Merah menghala Tumpat.

Beliau berkata kanak-kanak itu dipercayai mengalami pendarahan dalaman akibat kecederaan di bahagian kepala, dan sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dalam keadaan koma.

"Muhammad Amirul dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah menggunakan basikal selepas selesai mengikuti kelas fardu ain di sekolahnya. Dia keluar melalui laluan kecil di situ yang ada lintasan haram, mungkin tidak dapat dilihat dengan jelas sebelum dilanggar," katanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 63 Akta Keretapi 1991,” tambahnya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain