suria

Pendakwah difitnah hina Islam, tak patah semangat teruskan dakwah

FOTO: Sinar Harian

SEORANG pendakwah tidak dapat lari daripada ujian difitnah dan itu dilalui oleh seorang anak muda yang aktif melakukan kerja mengembangkan syiar Islam, Fadhil Azri Ismail.

Pemuda berusia 30 tahun ini difitnah yang mana gambarnya disalah guna individu yang 'panas hati' dengan kerja dakwah yang dilakukannya.

Gambar Fadhil dijadikan gambar profile akaun Facebook palsu yang memuat naik status serta komen menghina agama Islam.

Fadhil yang juga seorang pereka grafik di sebuah syarikat swasta di Bukit Jalil sewaktu dihubungi Sinar Harian berkata, dia tenang malah sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam urusan dakwah yang dilaksanakan.

"Difitnah memang salah satu cabarab dalam usaha melakukan kerja dakwah, dan inilah dia fitnah di era zaman moden, berlaku di media sosial, saya hadapinya dengan tenang.

"Saya dapat tahu tentang perkara ini Sabtu lalu, selepas rakan-rakan 'tag' saya di Facebook dan semalam saya buat laporan polis sebagai langkah keselamatan.

"Dan pasti ramai akan terperanjat dengan perkara itu, tapi mereka jugalah yang memberi sokongan dan kata semangat untuk saya terus positif," katanya.

Fadhil memberitahu, dia baru bergiat secara aktif berdakwah sejak tiga tahun lalu dengan menyertai pendakwah terkenal Firdaus Wai Hung yang juga Pegasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) atau Mualaf Berbilang Bangsa.

"Kami buat kerja dakwah jalanan malah ramai juga golongan yang telah murtad PM sya di Facebook menyatakan rasa insaf dan ingin kembali kepada Islam.

"Dari situ mungkin ada yang tak suka dengan usaha dakwah yang kami lakukan maka mereka tabur fitnah dengan salah guna gambar saya. Golongan ini sangat terdesak hendak menghentikan usaha dakwah," katanya.

Fadhil berkata, fitnah yang timbul sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdakwah.

Malah katanya, dia akan terus memperluaskan kerja dakwah, tidak akan pernah penat turun ke jalanan menerangkan tentang apa itu Islam yang sebenarnya dan mengajak untuk lebih ramai orang mencintai Islam.

"Kebiasaannya kerja dakwah saya bersama sahabat dan NGO (Badan Bukan Kerajaan) Islam akan dilakukan setiap hujung minggu dan pada waktu malam selepas selesai waktu bekerja," katanya.

Fadhil menambah, gambar yang disalah guna adalah gambar yang dimuat naik di Facebooknya pada 1 Mac lalu ketika dia menziarah sahabatnya yang sedang dirawat di Hospital di Rawang. - Sinar Harian.

Fadhil Azri Ismail., Pendakwah

Artikel Lain