PEJABAT Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung satu video berunsur ugutan, ingin menyimbah asid terhadap menteri berkenaan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. Laporan polis itu dibuat oleh Mohd Fikri Abdul Rahman, wakil daripada pejabat menteri bersama seorang lagi pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima laporan itu. “Saya sahkan ada terima laporan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu ugutan jenayah,” katanya. Video berdurasi dua minit 39 saat itu dimuat naik di media sosial oleh pengguna akaun Facebook, Otai Daulat 812, Rabu lalu. Mohd Fikri dalam kenyataan pada Isnin berkata video itu memaparkan satu sesi perbincangan antara empat individu yang antara lainnya menjadikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai topik perbincangan yang diakhiri dengan seruan supaya Mujahid disimbah asid. “Seruan ini adalah sangat merbahaya kerana ia menganjurkan suatu perbuatan jenayah serius yang boleh mendatangkan kecederaan malah boleh membawa maut, malah video itu sendiri mengandungi berita tidak benar dan fitnah selain ancaman serius kepada menteri,” katanya. Sehubungan itu, Fikri mendesak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas mengekang fitnah dan perbuatan hasutan yang berleluasa di media sosial.-- Bernama