DUA lelaki dikhuatiri lemas setelah bot fiber yang dinaiki terbalik di Sungai Pahang berhampiran Pulau Awang Mandur, di Pekan, Pahang, petang Isnin. Ketua Polis Daerah Pekan, Superitendan Amran Sidek berkata, bagaimanapun dalam kejadian lebih kurang 4.45 petang, tiga lagi individu yang turut menaiki bot itu termasuk seorang tekong warga Indonesia berjaya diselamatkan oleh orang kampung yang kebetulan memancing di kawasan berhampiran. Amran berkata, mangsa yang hilang dikenali sebagai Chan Hoke Kee, 49, dan Ah Po (umur belum diperolehi). Mangsa yang selamat dikenali sebagai Sow Ke Cheong, 44, dari Batu Caves, Selangor dan Fan Kek Heung, 41, dari Kepong, manakala tekong berkenaan dikenali sebagai Suprianto, 24. "Ketika kejadian kesemua mangsa menaiki bot dari tebing Sungai Pahang di Pulau Jawa kerana ingin meronda sekeliling kawasan Pulau Awang Mandur untuk merakam aktiviti mengepam pasir yang dilakukan sekitar pulau itu,” katanya dalam kenyataan kepada media di Pekan, Isnin. "Semasa bot sedang bergerak, dua daripada mereka berdiri untuk mengambil gambar menyebabkan bot tersebut berada dalam keadaan tidak seimbang sebelum terbalik," katanya. Katanya, dua mangsa itu dilaporkan hilang sebaik terjatuh ke dalam sungai dan gerakan mencari mangsa-mangsa yang hilang dijalankan oleh dua bot bomba serta lapan bot orang awam sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu. Beliau berkata, bot fiber dinaiki mangsa telah dijumpai tidak lama selepas itu dan dibawa ke tebing. "Gerakan mencari oleh polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dihentikan pada pukul 7.30 malam kerana cuaca gelap dan akan disambung pada pukul 8 pagi esok," katanya. - Bernama