PEMANDU bas pekerja S. Suresh yang maut bersama-sama 10 pekerja warga asing dalam nahas malam Ahad mempunyai pengalaman memandu bas lebih 10 tahun serta tidak pernah terlibat kemalangan. Abang iparnya S. Santhiaseelan, 43, berkata beberapa jam sebelum kemalangan, Suresh sempat berborak dengannya kira-kira dua jam ketika datang mengambil tiga anak di rumahnya di Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan. “Kami menetap dalam kawasan perumahan yang sama dan memang hampir setiap malam tiga anak Suresh berusia lapan hingga 12 tahun dihantar ke rumah saya untuk belajar. ARTIKEL BERKAITAN: Nahas akibatkan 11 maut, pemandu bas tersilap masuk susur bulatan “Dia meminta diri untuk pulang kira-kira 10.30 malam kerana nak masuk kerja dan kira-kira 1.30 pagi ada saudara telefon beritahu Suresh terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Serdang. Keadaan bas selepas terbabit kemalangan malam Ahad. FotoBERNAMA Suresh maut apabila bas dipandunya terjunam ke dalam longkang besar berhampiran kawasan MASKargo, Sepang, dekat sini, malam tadi. Kejadian yang dilaporkan berlaku pada 11.10 malam tadi turut meragut nyawa 10 pekerja warga asing. Siasatan awal polis mendapati bas pekerja yang membawa 43 penumpang iaitu pekerja kontrak MASKargo itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai dan mereka sepatutnya memulakan syif pada 12 tengah malam tadi. Santhiaseelan berkata mayat adik iparnya akan dibawa pulang ke Nilai selepas selesai bedah siasat dan akan disemadikan pada Selasa. - BERNAMA