LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan mencari kaedah untuk memendekkan tempoh menunggu bagi pendepositnya mendapat giliran menunaikan ibadah haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. Beliau berkata ini akan dilakukan pihak pengurusan TH selepas berjaya mengimbangi kedudukan kewangannya yang sebelum ini mengalami defisit sehingga RM4.1 bilion. "Kita kini mahu fikirkan bagaimana untuk mengurangkan waktu menunggu giliran Haji yang panjang sehingga ada yang mencapai 100 tahun. Ia boleh dilakukan, ada caranya," katanya pada sidang media selepas Program Rakan Masjid dan Hospital di Putrajaya pada Isnin. Mengenai kewangan TH, beliau berkata setakat 31 Disember 2018, TH merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM76.5 bilion sekaligus mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018. "Alhamdulillah, walaupun kita ambil alih TH pada Jun 2018 dalam masa tak sampai setahun kerana ada komitmen dan azam politik serta kepimpinan profesional kita berjaya imbangi kedudukan di antara aset dan liabiliti," katanya. Untuk pelan yang seterusnya, Mujahid berkata TH akan melihat keperluan penstrukturan semula dari sudut kewangan untuk menjaga kebajikan jemaah. "Sekiranya penstrukturan yang dirancang TH berjalan lancar, hibah pada tahun kewangan 2019 akan lebih meningkat dan lebih baik,” katanya. Mujahid turut mengucapkan terima kasih kepada para pendeposit TH yang yakin dengan pengurusan baharu institusi itu susulan pengumuman hibah terendah dalam sejarah sebanyak 1.25 peratus pada Jumaat lalu. "Alhamdulillah, urus niaga berjalan lancar seperti biasa di kesemua cawangan TH dan tiada pengeluaran luar biasa berlaku. "Malah saya juga dimaklumkan bahawa cawangan-cawangan TH juga menerima caruman pendeposit baru" katanya. - BERNAMA