AKIBAT mencuri dua bungkus minuman malt bercoklat, Milo dan tiga botol cecair mandian, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, Jumaat. Majistret, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhi hukuman itu terhadap Ahmad Azman Osman, 42, selepas dia mengaku bersalah mencuri dua bungkus Milo dan tiga botol cecair mandian bernilai keseluruhan RM116 milik pasar raya 99 Speedmart, Sphere Damansara, di sini, pada 5.35 petang, 9 April lepas. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula Jumaat dan sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Ketika ditanya Mohamad Ikhwan alasan dia mencuri barangan itu, lelaki yang bekerja sendiri itu berkata dia melakukannya kerana desakan hidup dan barangan yang dicuri adalah untuk kegunaan sendiri. Mengikut fakta kes, salah seorang pekerja pasaraya itu telah melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan dan bertindak mendekati tertuduh yang kemudian terus berlari meluru keluar daripada premis tersebut namun dia berjaya ditahan oleh orang awam dan mendapati barangan yang dicuri ada pada badannya sebelum pekerja pasar raya membuat laporan kepada pihak polis. Pendakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dengan denda atau sebat. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama. - Bernama