suria

Duka anak maut tragedi kebakaran pusat tahfiz belum pun hilang, kini suami pula meninggal dunia akibat elak kucing, “Dia kata nak tukar pintu baharu”

Nurazlin (jubah hitam) tenang dipujuk keluarga ketika pengebumian anak sulungnya dua tahun lalu. Foto: AZMAN GHANI / The Star

REDA dengan kehilangan anak sulung dalam kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat dua tahun lalu, kini Nurazlin Abd Aziz sekali lagi terpaksa menelan kesedihan apabila suami tersayang pergi buat selama-lamanya.

Tragedi yang menimpa anak lelakinya , Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan,  11, pada September 2017 belum pudar dalam ingatan, namun Nurazlin sekeluarga tetap teruskan hidup bersama memori anak sulung lelakinya itu.

Namun dugaan Allah kali ini lebih berat buat diri Nurazlin apabila suaminya Hairulizwan Isa,39, pergi meninggalkan mereka apabila terlibat dalam kemalangan Rabu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Tahfiz: Hilang Tiga Anak Serentak

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Mangsa Kebakaran Tahfiz DQI Kecewa Dikecam Netizen

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik... semua kucing tiba-tiba murung, rupanya petanda 'tuan' meninggal dunia

"Saya menerima panggilan telefon daripada kawan-kawannya memberitahu mengenai kemalangan dan saya terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Ketika tiba di hospital suami saya masih dalam keadaan sedar dan boleh bergerak. Namun sebelum subuh (pagi Khamis) dia pergi buat selamanya di hadapan kami sekeluarga.

"Saya diberitahu punca dia meninggal dunia akibat kecederaan dalaman selepas motosikalnya terbabas ketika mengelak terlanggar seekor kucing.

"Selebihnya saya tak sempat nak tanyakan kerana terkejut dengan apa yang terjadi.

"Ketika itu dia dalam perjalanan balik ke rumah (Keramat) dari pusat bandar Kuala Lumpur.

"Semuanya terjadi dalam sekelip mata," ujarnya kepada mStar.

Anak kedua, Nur Arryssa Aqiera.


Jelas Nurazlina, sebelum insiden berlaku, tidak ada apa-apa yang pelik ditunjukan arwah ketika keluar rumah pagi hari kejadian itu.

"Dia cuma demam sedikit. Yang lain-lain tidak ada apa-apa perubahan.

"Cuma saya baharu teringat pada Mac lalu dia ada beritahu saya mahu tukar pintu baharu.

"Saya ada tanya untuk apa. Dan jawabnya, "saya nak tukar kunci pintu untuk keselamatan awak dan anak-anak”.

"Selepas itu saya hanya 'okay' jer dan tidak terfikir langsung dia akan meninggalkan kami selamanya.

"Dan sepatutnya juga pada 25 April lalu, anak-anak saya pergi lawatan sekolah ke Kidzania. Namun pihak sekolah menundanya kepada 2 Mei ini.

"Dan pada tarikh itulah suami saya meninggal dunia," imbasnya kembali detik sebelum suaminya meninggal dunia.

Gambar sekeluarga yang dirakam pada tahun 2017 sebelum anak lelakinya (depan) dan suami Nurazlin meninggal dunia.

Nurazlin yang kini hanya tinggal dengan dua anak perempuan berusia 11 dan lapan tahun mengakui keadaan emosinya tidak stabil.

"Kadang-kadang okay, kadang-kadang tak okay, sedih. Tetapi saya perlu kuatkan semangat demi anak-anak.

"Saya seorang surirumah dan tidak pernah bekerja. Semuanya arwah suaminya yang sediakan.

"Selepas ini nak tak nak saya kena positif untuk menanggung keluarga saya ini," jelasnya.

Artikel Lain