suria

Tragedi menjelang Aildilfitri, ibu merangkak tarik anak hampir digilis lori... "Semua tak sangka kami masih hidup"

Dhuha bernasib baik terselamat daripada kemalangan negeri bersama ibu bapanya di Kampung Delek Sabtu lalu.

“TENGOK anak terpelanting dari pelukan membuatkan saya kuatkan diri merangkak mendapatkannya,” ujar ibu muda selepas terlibat dengan kemalangan dilanggar lori kontena Sabtu lalu.

Malang tidak berbau apabila tiga sekeluarga yang menunggang motosikal dilanggar sebuah lori kontena beberapa hari menjelang Aildilfitri di Kampung Delek, Klang Selangor.

Namun ajal maut di tangan Tuhan. Tiga beranak ini terselamat walaupun terpelanting sejauh kira-kira 50 meter dan nyaris terpelosok di bawah tayar lori tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Helmet terpelanting, kepala terkoyak tapi pemandu kereta tak berhenti... “Mungkin dia tak perasan saya terjatuh”

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah kemalangan, Hafizam kini digelar 'Raja Gelek' TikTok

Mengimbas kembali kejadian ngeri itu, Wan Emilia Emishah Mohd Zulkifli, 24, memberitahu ketika kejadian, dia bersama suaminya Muhammad Suffean Hashim juga 24 tahun dan anak tunggal mereka, Muammad Dhuha Suffean dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Sebenarnya kami baharu balik dari bank, hari tu, kami lalu jalan lain. Saya dah tanya dekat suami kenapa lalu jalan tu, dia hanya jawab 'tak pelah’.

Dhuha bersama bapa dan ibunya selepas kejadian.

“Ketika masuk jalan tu, saya dah nampak sebuah lori kontena laju di belakang kami. Jadi saya bagitau suami ada lori laju. Belum pun suami pandang ke belakang, motosikal kami dah terpelanting.

“Motosikal kami tercampak dan saya rasa badan melayang. Dalam masa sama anak masih dalam pelukan. Tetapi ketika badan berguling-guling anak saya terlepas dari pelukan,” jelasnya berkongsi kepada mStar.

Wan Emilia memberitahu, dia kuatkan semangat untuk merangkak mendapatkan anaknya yang hampir berada di tayar lori itu.

“Lori sempat berhenti namun, tayar belakang kelihatan sedikit bergerak. Saya kuatkan semangat apabila mendengar anak menangis dan matanya pandang ke arah saya.

“Dengan kudrat yang ada saya terus tarik dia. Nasib baik saya cepat tarik kerana badannya begitu hampir dengan tayar lori. Sebab itu muka dia melecet teruk.

Keadaan motosikal Suffean rosak sepenuhnya.

“Sebaik sahaja dia selamat dalam dakapan saya, baharulah saya pergi tengok keadaan suami ,” ujarnya yang masih terkejut dengan insiden itu.

Jelas Wan Emilia, dia bersyukur kerana suami dan anaknya tidak mengalami kecederaan serius.

“Kami mengalami luka-luka dan tidak ditahan di wad. Cuma anak, Dhuha dimasukkan ke hospital kerana luka di mukanya yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

“Alhamdullilah tidak ada apa-apa kecederaan dalaman kesan daripada kemalangan itu, selepas dua hari di wad dia dah boleh keluar,” jelasnya.

Mengenai sambutan raya tahun ini, Wan Emilia memberitahu sebenarnya dia memang tidak terasa terlalu teruja untuk meraikan 1 Syawal.

“Sebelum keluar rumah tu, saya dan suami ada bertengkar sedikit mengenai persiapan raya memandangkan kami berdua agak sibuk. Saya berniaga, manakala suami pula bekerja sebagai anggota polis trafik.

Dhuha terpaksa ditahan di hospital selama beberapa hari.

“Tetapi apabila berlaku kemalangan ngeri ini, kami berdua merasakan sangat bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk mengharungi hidup dengan lebih baik,” tambahnya.

Dalam pada itu, Wan Emilia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua termasuk keluarga, sanak saudara, kawan-kawan dan kenalan di Facebook yang tidak putus-putus bertanyakan khabar.

“Kalau tengok kesan kejadian, memang semua tak sangka kami masih hidup. Tetapi itulah, semuanya urusan Allah.

“Dan kami pun tidak mahu memanjangkan kes ini kerana semuanya selamat. Saya memaafkan pemandu lori itu. Tiada yang lebih baik daripada melihat suami dan anak selamat,” katanya hanya menyambut lebaran dalam keadaan sederhana sahaja.

Lori kontena, anak, motosikal

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan