suria

Abang botak bebas, perlu lapor diri dua kali sebulan di balai polis

Danial dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

ABANG Botak yang dihukum penjara 12 bulan kerana melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan topi keledar hanya sempat bermalam enam hari di penjara sebelum dia dibebaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut.

Ia berikutan Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan penangguhan perlaksanaan hukuman itu.

Hasil semakan Sinar Harian, pendengaran permohonan itu berlangsung di hadapan Majistret Nur Shahira Abdul Salim, Jumaat lalu.

Mahkamah menetapkan RM6,000 sebagai jaminan dan memerintah Abang Botak atau nama sebenarnya Danial Tan Abdullah melaporkan diri dua kali setiap bulan di balai polis berdekatan.

Sementara itu, semakan juga mendapati, Danial, 31, turut memfailkan semakan terhadap hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Jun lalu.

Peguam yang mewakili Danial, Nur Rafiuddin Maswari mengesahkan perkara tersebut.

Pada 31 Mei lalu, mahkamah menjatuhi hukuman itu selepas Danial yang bekerja sebagai pembantu stor kilang mengaku bersalah memecahkan cermin hadapan kereta Produa Axia milik Siew Chean Voon,58.

Keputusan itu menyebabkan dia terpaksa dihantar ke penjara kerana tidak membuat permohonan penangguhan perlaksanaan hukuman.Terdahulu, tular video di laman sosial mengenai kejadian tersebut dan polis berjaya memberkasnya.

Abang Botak, bebas, pecah cermin

Artikel Lain