suria

“Mesej dah sampai Putrajaya, nak makan sekejap, lepas tu langsung tiada berita” - Pelajar Maktab Tentera Diraja hilang, bapa buntu

Muhammad Harraz Hilmi tidak dapat dihubungi sejak tiba di Putrajaya pada Isnin.

"KALI terakhir dia mesej kata dah sampai Putrajaya dan nak makan sekejap, lepas tu langsung tak dengar berita," ujar bapa kepada seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) yang hilang sejak Isnin.

Menurut Mohd Shukri Mohamed, anaknya Muhammad Harraz Hilmi menaiki bas ke Putrajaya selepas pulang bercuti di Kota Bharu, Kelantan sejak seminggu lalu.

"Dia seorang yang berdikari dan sudah biasa menaiki bas seorang diri ke Putrajaya pukul 12.40 tengah hari. Biasanya selepas tiba di Putrajaya dia akan naik MRT ke maktabnya.

"Sebaik sampai dia ada mesej dan beritahu nak pergi makan sekejap, tapi lepas itu langsung tidak terima berita," katanya mengenai anak remajanya yang berusia 16 tahun itu ketika di hubungi mStar.

Kata Mohd Shukri, pada sebelah malam, salah seorang bapa kepada pelajar MTD  menghubunginya dan memaklumkan anaknya tiada di maktab.

"Hari ini pegawai Maktab Tentera Diraja ada hubungi saya memberitahu anak saya belum daftar masuk," ujarnya 

Bapa kepada sembilan anak ini memberitahu, susulan berita kehilangan Harraz itu, dia telah meminta abang remaja itu untuk mencarinya.

"Abang dia dah cari di semua stesen bas. Namun masih belum ditemui atau tak terima apa-apa berita. Malah hari ini juga abangnya telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi," tambah Mohd Shukri.

Bercerita mengenai anak ketujuhnya itu, Mohd Shukri memberitahu dia tidak nampak sebarang perubahan atau tanda-tanda pelik pada Harraz.

"Seperti biasa balik bercuti dia banyak berehat di rumah. Hari Raya tu pun dia okay sahaja.

"Saya tak tahu nak fikir apa. Buntu. Saya harap dapat jumpa dia secepat mungkin dan berada dalam keadaan selamat," ujarnya.

Harraz, hilang, Maktab Tentera Diraja

Artikel Lain