suria

Haziq Aziz ditahan di KLIA

Haziq Abdullah Abdul Aziz.

INDIVIDU yang terlibat dalam video seks mirip seorang menteri kanan Kabinet, Haziq Abdullah Abdul Aziz ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Difahamkan Haziq Abdullah ditahan di KLIA kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat.

Peguamnya Ramesh Kumar mengesahkan penahanan tersebut. 

"Polis hubungi saya beritahu Haziq berada di KLIA. Tetapi sebaik saya tiba di sana pukul 7.20 malam, mereka beritahu dia sudah dibawa ke Bukit Aman.

"Sekarang saya menunggu lebih banyak perkembangan terkini daripada polis. Saya juga tidak pasti ke mana dia dibawa," katanya ketika dihubungi Jumaat malam.

Ramesh turut memberitahu dia tidak dimaklumkan mengapa Haziq ditahan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed yang mengesahkan perkara itu berkata, Haziq ditahan oleh pasukan siasatan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman

"Penahanan ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

"Bagaimanapun butiran lanjut mengenai penahanannya sedang dikemaskini dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Terdahulu Haziq Abdullah yang merupakan Ketua AMK Cabang Santubong, Sarawak membuat pengakuan bersumpah bahawa dia adalah individu dalam video seks tersebut.

Pada Rabu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuh beliau dan memusnahkan karier politiknya.

Artikel Lain