suria

“Aku amat sedih” - Som Yai tak sempat kering air mata... hilang suami, tiga anak

Seorang wanita masyarakat Orang Asli dari suku Batek mengenakan topeng muka di penempatan mereka di Kampung Kuala Koh susulan jangkitan radang paru-paru (pneumonia) yang menjangkiti mereka. Foto BERNAMA

"SEDIH kehilangan suami belum habis, anak pula meninggal," luah wanita Orang Asli Som Yai, 50-an yang kehilangan suami dan tiga anaknya dalam tempoh singkat susulan wabak misteri di Kuala Koh, Gua Musang.

Sebak menceritakan nasibnya, Som amat pilu melihat tubuh suaminya, Hamdan Keladi menjadi kurus kering sebelum meninggal dunia di depan matanya.

"Dia (suami) kurus, badannya panas, dan muntah-muntah serta sesak nafas. Aku amat sedih," katanya yang menahan air mata ketika ditemui pemberita di Felda Aring 10, di Gua Musang, Jumaat.

Belum sempat wanita bertubuh kecil itu mengeringkan air mata meratap kematian suami, dia diuji sekali lagi seminggu kemudian apabila dua anaknya, jatuh sakit dengan simptom serupa sebelum meninggal dunia pada hari yang sama.

Anaknya, Laila Hamdan yang berusia 30-an meninggal dunia kira-kira 8 pagi diikuti Romi Hamdan, 29, pada 4 petang.

Empat hari kemudian, nasib sama menimpa seorang lagi anaknya, Din, 18.

"Sehingga hari ini, aku masih bersedih dan terbayang penderitaan yang dialami suami dan anak-anak. Kami sudah cuba macam-macam cara.

"Buntu dan tak mampu nak buat apa-apa lagi, mereka (suami dan anak-anak) terbaring menahan sakit, tak makan tak minum," kata Som yang kini tinggal bersama empat lagi anaknya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan laporan mengenai 14 Orang Asli suku Batek meninggal dunia kerana dikatakan dijangkiti wabak misteri. 

Hamdan dan tiga anaknya adalah antara 14 Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia akibat jangkitan wabak misteri yang melanda perkampungan mereka sejak Mei lepas.

Hamdan merupakan Ketua Kampung bagi masyarakat Batek di situ sejak lima tahun lepas.

Bercerita lanjut, Som memberitahu seorang lagi anaknya Asiah, 20-an turut dijangkiti penyakit sama.

Bagaimanapun, dia bersyukur Asiah sempat menerima rawatan awal di hospital.

“Asiah ditahan di wad selama beberapa hari dan baru sahaja dibenarkan keluar,” katanya.

Sementara itu, Lan, 20, adik kepada Asiah berkata dia berada di dalam hutan mencari hasil hutan dan madu lebah ketika musibah itu menimpa keluarganya.

"Ketika saya sampai di kampung, bukan hanya ayah yang mati, tapi dua abang dan kakak juga sudah mati. Seorang lagi kakak masuk wad.

"Kami harap sangat dapat tahu secepat mungkin apa punca sebenar keluarga kami terkena penyakit itu," katanya. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain