suria

Harga RON97 turun 22 sen, RON95 & diesel kekal

Harga petrol RON97 turun 22 sen.

HARGA runcit petrol RON97 turun 22 sen kepada RM2.41 manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.08 dan RM2.18 seliter bermula tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga runcit produk petrol itu adalah bagi tempoh 15 sehingga 21 Jun depan.

"Penurunan itu berikutan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.

"Pada masa sama, perkembangan semasa berikutan ketegangan di rantau Teluk seperti yang berlaku semalam juga berkemungkinan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.11 dan RM2.19 seliter masing-masing.

"Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya.

harga petrol, RON97, RON95, diesel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain