suria

Bekas timbalan menteri Dr James Dawos Mamit meninggal dunia

Mendiang James Dawos Mamit. Foto Zulazhar Sheblee

BEKAS Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, meninggal dunia pada malam Isnin dan pemergiannya merupakan satu kehilangan buat Sarawak.

Dawos, 70, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Stutong, Tabuan Jaya di Kuching, Sarawak pada kira-kira pukul 11.30 malam Isnin.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Puncak Borneo selama empat penggal menderita kanser hidung sejak beberapa tahun lalu.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Datin Seri Christine Dawung Narub dan tiga anak lelaki.

"Kami amat sedih mendengar berita pemergian Dawos. Beliau telah banyak menyumbang kepada politik Sarawak dan beliau telah melakukan banyak perkara di kawasannya dan sebagai timbalan menteri dalam Kerajaan Persekutuan.

"Kami bersimpati (terhadap keluarganya). Ia merupakan satu kehilangan buat kami," kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dawos memulakan karier politik sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 apabila bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Puncak Borneo (dulu dikenali sebagai Mambong).

Beliau dilantik sebagai menteri pelancongan pada 2009 sebelum berkhidmat sebagai timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar dari 2013 hingga 2015.

Mendiang Dawos merupakan timbalan menteri tenaga, teknologi hijau dan air dari 2015 hingga 2018. - The Star

James Dawos Mamit, Puncak Borneo

Artikel Lain