suria

Lebih 2 bulan di UK, Ainul Mardhiah terus ke HKL sebaik tiba di tanah air

Adik Aidul Mardiah selamat tiba di ibu negara pagi Ahad.

"ALHAMDULLILAH kami selamat sampai," ujar bapa Ainul Mardhiah yang tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pagi Ahad.

Ainul Mardhiah yang berusia 11 bulan menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor kembali ke tanah air selepas lebih kurang dua bulan menerima rawatan di London.

"Alhamdulliah keadaan dia OK. Selamat sampai dan tidak ada sebarang masalah di atas pesawat.

"Sekarang kami nak pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana dia masih lagi memerlukan bantuan.

"Terima kasih kepada semua yang menunggu kami pagi ini serta seluruh rakyat Malaysia yang mendoakannya," ujar Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, ketika ditemui  media di KLIA.

Ahmad Safiuddin dan isterinya Nurul Erwani Zaidi berangkat menemani Ainul ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan itu.

Ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun lalu selepas menjalani prosedur selama lima jam di Hospital Great Ormond Street.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Turut mengiringi kepulangan Ainul ke tanah air  ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia, iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.

Sebaik tiba di KLIA, Ainul Mardiah terus ke HKL menaiki ambulans yang telah sedia menunggu.

Ainul Mardiah, selamat pulang

Artikel Berikut

Artikel Lain