SEORANG subkontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Khamis, atas dua pertuduhan cuba merompak motosikal milik penghantar makanan Grab Food dan mencederakan mangsa, yang videonya tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki diserang dua lelaki dalam satu kejadian curi motosikal. Abu Bakar Subianto, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret M. Bharat. Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul Muhammad Amirul Adli Mohd Saharudin, 22, pada bahagian muka dan badan menggunakan pengunci kenderaan. ARTIKEL BERKAITAN: Penghantar makanan dipukul 2 lelaki, motosikal nyaris dicuri ARTIKEL BERKAITAN: Suspek cuba samun penghantar makanan ditahan, seorang lagi masih bebas Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau mana-mana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa cuba merompak motosikal jenis Yamaha Y15 milik mangsa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. View this post on Instagram Ingat lagi kejadian samun moto Ysuku penghantar Grabfood ni? Salah seorang daripada 2 laki tu dah didakwa Artikel penuh di IG Story/Highlight A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Aug 15, 2019 at 2:01am PDT Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di pintu hadapan Bangunan Phileo Damansara 2, di sini, pada 2.53 petang, 9 Ogos lalu. Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa. Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 12 tahun. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa dan menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes. Tertuduh yang tidak membayar wang jaminan ditahan di Penjara Sungai Buloh. Bernama sebelum ini melaporkan sebuah video tersebar dalam media sosial menunjukkan seorang penunggang Grab Food telah ditahan dan diserang dua lelaki dalam satu kejadian mencuri motosikal yang gagal sehingga mangsa mengalami kecederaan pada telinga, kepala, belakang dan mulut. -Bernama