BEBERAPA kawasan di Subang Jaya dilanda banjir kilat akibat hujan lebat yang berterusan lebih sejam bermula pukul 3.40 petang Khamis. Antara kawasan yang terjejas adalah Persiaran Kewajipan, Persiaran Mulia USJ8, Persiaran Tujuan USJ 11 dan hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPS) Subang Jaya. Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Risikin Satiman berkata hujan lebat mengakibatkan air naik kira-kira satu meter di kawasan terbabit. "Keadaan ini menyebabkan beberapa buah kereta dihanyutkan air berikutan arus deras. "Dalam tempoh satu jam, keadaan telah kembali pulih seperti sedia kala dan lalu lintas kembali lancar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan orang ramai sudah boleh menggunakan laluan yang terjejas kerana air telah surut sepenuhnya. "Hanya beberapa buah kenderaan yang rosak masih tersadai dan pemilik sedang berusaha memanggil mekanik masing-masing," katanya. Kejadian banjir berkenaan tular di media sosial dengan memaparkan dua buah kereta hanyut dibawa arus dalam kejadian di hadapan IPD Subang Jaya. - BERNAMA