PEPERIKSAAN Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2019 bagi subjek bertulis Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) yang dijadualkan di seluruh negara pada Isnin (30 September), ditangguhkan ke 7 Oktober depan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan malam Sabtu berkata penangguhan itu bagi menghormati perkabungan kemangkatan Sultan Kelantan ke-28 Almarhum Sultan Ismail Petra. ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra selamat dimakamkan “Jakim merafak sembah setinggi-tinggi ucapan takziah dan rasa dukacita terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Muhammad V, ahli-ahli kerabat Diraja Kelantan dan seluruh rakyat Kelantan atas kemangkatan Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra. “Berikutan pengisytiharan kerajaan Negeri Kelantan bahawa 29 dan 30 September 2019 sebagai cuti peristiwa, Jakim memutuskan peperiksaan UPKK 2019 bagi subjek bertulis Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) yang dijadual pada 30 September 2019 (Isnin) ditangguhkan ke 7 Oktober 2019 (Isnin). Sultan Ismail Petra, 69, ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada pukul 8.11 pagi Sabtu dan selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar pada pukul 7.20 malam Sabtu. - BERNAMA