suria

Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra selamat dimakamkan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (lima, kanan) bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (enam, kanan) dan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V (lima, kiri) melakukan Solat Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra di yang diimamkan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad di Istana Balai Besar hari ini. FOTO BERNAMA

JENAZAH Almarhum Sultan Ismail Petra, ayahanda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kota Bharu, Kelantan, pada pukul 7.20 malam, Sabtu.

Jenazah Almarhum Sultan dibawa dengan Pedati Diraja yang ditarik sejauh 4 kilometer oleh kira-kira 50 anggota keselamatan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Makam Diraja Langgar dari Istana Balai Besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra mangkat

Tiga ulama Kelantan, masing-masing Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Ketua Hakim Syarie Negeri Datuk Daud Muhammad dan Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Muhamad Hana Pizi Abdullah diberi penghormatan membacakan ayat-ayat suci al-Quran di atas Pedati Diraja.

Ribuan rakyat Kelantan yang bersedih di atas kepergian Almarhum Sultan Ismail Petra berbaris di sepanjang jalan untuk memberi penghormatan terakhir kepada baginda.

Sebanyak 72 das tembakan meriam turut dilepaskan mengiringi jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra ke Makam Diraja Langgar.

Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra kemudiannya disemadikan bersebelahan makam ayahandanya, Almarhum Sultan Yahya Petra.

Terdahulu, Sultan Muhammad V, Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja-raja Melayu turut bersama-sama solat jenazah di Balairung Seri, Istana Kota Lama yang diimamkan Mohamad Shukri.

Jenazah Almarhum sebelum itu dimandi dan dikafankan di Istana Balai Besar sebaik tiba dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) kira-kira pada pukul 11.30 pagi. Baginda mangkat pada pukul 8.11 pagi di Wad Diraja hospital itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili kerajaan Persekutuan, dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Sultan Ismail Petra diputerakan pada Jumaat, 11 Nov, 1949. Baginda memerintah Kelantan dari 30 Mac 1980 sehingga Mei 2009.

Baginda kemudiannya digantikan putera sulungnya Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan, akibat gering.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain