suria

Kerajaan ambil alih 4 lebuh raya, kadar tol jambatan kedua P.Pinang diturunkan

Kerajaan sedang berusaha menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

KERAJAAN mengumumkan pengambilalihan empat lebuhraya di Lembah Klang dalam pembentangan Belanjawan 2020.

Empat lebuh raya tersebut adalah Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (Sprint) dan Terowong SMART (Smart).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata susulan pengambilalihan ini kerajaan memperkenalkan caj kesesakan pada waktu tertentu.

"Pengenalan caj kesesakan di mana caj kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak, akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi.

"Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada," kata Guan Eng yang membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat.

Guan Eng berkata pengambilalihan lebuh raya ini tidak akan membebankan kerajaan kerana kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan akan dibiayai sepenuhnya melalui kutipan tol dan caj kesesakan tanpa memerlukan peruntukan daripada kerajaan pada masa hadapan.

"Jelas sekali, kerajaan menolak dasar kerajaan terdahulu yang menswastakan keuntungan dan merakyatkan kerugian," katanya.

Selain itu Guan Eng turut mengumumkan penyeragaman kadar tol di antara Jambatan Pertama dan kedua Pulau Pinang.

"Kadar tol untuk kategori kereta persendirian di jambatan kedua Pulau Pinang akan dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7.00," katanya.

Menurut Guan Eng pengumuman ini adalah selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan bahawa rundingan akan dilaksanakan untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Artikel Lain