suria

Tiada lagi wang percuma untuk rakyat, kerajaan perlu tampung hutang - Tun M

Tun Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada majlis Ramah Mesra bersama Jawatankuasa Pakatan Harapan (PH) dan Ketua-Ketua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Langkawi, pada Ahad. Foto: Bernama

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak dapat memberikan wang percuma kepada rakyat kerana perlu menampung jumlah hutang yang terlalu banyak, demikian kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana kata beliau, kerajaan perlu menumpukan kepada usaha untuk membayar semula hutang yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini.

“Hutang yang ditinggalkan kerajaan lama terlalu banyak dan kita perlu berusaha untuk membayarnya,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra bersama Ketua Jabatan, Jawatankuasa PH, Ketua Cawangan dan juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Adya Hotel Langkawi, pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini 

ARTIKEL BERKAITAN: Bantuan Sara Hidup diteruskan! 1.1 juta bujang lebih 40 tahun, OKU penerima kategori baharu

Terdahulu, Ahli Parlimen Langkawi itu meluangkan masa mendengar luahan hati Pengerusi MPKK Daerah Langkawi yang memerlukan bantuan dan juga dana bagi menjalankan beberapa perkara.

Dr Mahathir juga dalam masa yang sama berkata, pemberian wang sebagaimana yang diamalkan oleh pemerintahan terdahulu merupakan satu bentuk rasuah.

Dia juga berkata, amalan sedemikian hanya akan menggalakkan rakyat kurang berusaha untuk memperoleh pendapatan sampingan. 

Tambahnya juga, status wang diberikan juga diragui kerana mendakwa wang tersebut 'dicuri' daripada hasil tertentu.

“Wang yang diterima digunakan untuk melakukan umrah dan haji, saya pun tidak pasti apa hukumnya,” katanya.

“Pada PRU14 rakyat telah menunjukkan protes mereka dengan menukar kerajaan kerana tidak bersetuju dengan cara pemerintahan kerajaan lama.

“Oleh itu, sebagai kerajaan baharu, kita akan mentadbir negara ini dengan penuh adil dan mengikut saluran undang-undang yang betul,”katanya. - SINAR HARIAN

Tun Mahathir, wang percuma, rakyat

Artikel Lain