suria

PNB umum pendapatan ASB 5.50 sen seunit, paling rendah dalam sejarah

Zeti mengumumkan pendapatan ASB bagi tahun 2019 pada Rabu.

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen untuk dana utamanya Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Pengumuman berkenaan dibuat Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz di Kuala Lumpur pada Rabu.

Tahun lalu, ASNB mengagihkan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit yang dianggap sebagai pulangan terendah dalam sejarah. 

Zeti berkata jumlah pemegang unit ASB melepasi paras 10 juta buat kali pertama pada tahun ini.

“(Kami) berpuas hati kerana keadaan adalah sangat mencabar,” katanya apabila ditanya sama ada PNB berpuas hati dengan prestasi itu.

Semasa pengumuman dividen ASB pada Rabu, beliau berkata pasaran menjadi semakin mencabar pada 2019, di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran, perang perdagangan AS-China dan ketegangan geopolitik, serta kelembapan perdagangan global.

“Namun, ASB telah mampu mencapai agihan pendapatan berjumlah RM9 bilion pada 2019 daripada keuntungan yang direalisasikan yang dapat ditampung dengan meningkatkan pelaburan di peringkat global seperti disarankan di bawah Rangka Kerja Peruntukan Aset Strategik PNB,” katanya.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI kekal turun naik sementara ringgit terkurang nilai.

Zeti berkata Bursa Malaysia dijangka mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua 2020 dengan pengurangan beberapa risiko dan ringgit berada dalam jajaran kecil sehingga suku kedua pada tahun depan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Jalil Rasheed berkata ASB berjaya mengumumkan agihan pendapatan yang berterusan kepada kesemua pemegang unit, mencerminkan komitmennya dalam menyampaikan pendapatan yang lestari kepada Bumiputera.

“Sebanyak 65 peratus daripada pelaburan ASB berada di pasaran saham di Malaysia. Jika nilai pasaran saham merosot, kita akan menerima kesan kerana perlu membayar dividen daripada keuntungan yang direalisasikan," katanya.

“Oleh itu, sekiranya harga saham tidak meningkat, adalah sukar untuk kita menjana pulangan pelaburan.

“Bagaimanapun, pemegang unit tidak perlu bimbang kerana semua keputusan mengenai pelaburan telah melalui proses penilaian yang amat ketat,” katanya.

ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan 6.50 sen seunit bagi ASB dengan bonus 0.50 sen pada tahun lepas dan 7.00 sen seunit dengan bonus 0.25 sen pada 2017.

“Pada 1998, pasaran saham agak stabil dan tidak menghadapi cabaran geopolitik seperti yang berlaku pada masa ini.

“Pasaran Malaysia di Asia juga agak luas, namun, sejak lebih 20 tahun lepas, China telah menjadi pasaran terbesar dan ada negara lain mempunyai pasaran lebih luas berbanding negara ini seperti India, Korea dan Taiwan.

“Banyak yang telah berubah. Oleh itu, kita tidak dapat memberikan contoh untuk membandingkan 1998 dengan masa kini, di tengah-tengah situasi pelaburan yang berdepan perubahan,” katanya ketika ditanya mengenai perbandingan dividen yang diumum semasa krisis kewangan Asia yang lebih tinggi berbanding yang diumum pada Rabu.

Secara keseluruhan, PNB telah membayar pengagihan pendapatan kumulatif berjumlah RM152 bilion kepada semua pemegang unit ASB sejak penubuhannya pada 1990.

Jumlah aset PNB di bawah pengurusan telah tumbuh 5.7 peratus kepada RM311.9 bilion, dengan pendapatan bersih pro forma dan dana unit amanah RM10.7 bilion.

Unit dalam edaran turut meningkat 7.5 peratus kepada  253.8 bilion unit melibatkan kemua 14 dana.

PNB telah menyediakan pulangan yang lestari secara berterusan dengan merekodkan jumlah pembayaran RM13.2 bilion merentasi semua dana pada 2019.

pendapatan, ASB, dividen, PNB

Artikel Lain