suria

Bayi tahan sakit hampir 30 minit selepas tangan kiri tersepit eskalator pusat beli-belah

Seorang bayi menanggung kesakitan hampir 30 minit apabila tangannya tersepit pada bahagian bawah eskalator yang sedang bergerak. FOTO: Sinar Harian.

MALANG tidak berbau.

Begitulah yang dapat menggambarkan nasib seorang bayi apabila tangannya tersepit di eskalator sebuah pusat beli-belah di Jalan Hamzah, Kota Bharu, Kelantan, pada Isnin.

Bayi berusia setahun empat bulan itu meraung kesakitan dalam kejadian pukul 6.35 petang apabila tangan kirinya sehingga ke bahagian pergelangan tersepit di bawah pemegang eksalator yang sedang bergerak.

Malah, mangsa dikhabarkan terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit sebelum berjaya diselamatkan apabila pasukan penyelenggaraan pasar raya datang memberikan bantuan.

Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar KPJ Perdana Kota Bharu untuk rawatan.

Menurut saksi, Nurul Huda Abdul Yazid, 23, dia terdengar jeritan pengunjung sewaktu menuruni eskalator sebelum menyedari kejadian itu.

“Saya ketika itu berada berhampiran eskalator terkejut lalu berlari ke arah mangsa untuk membantu, namun tangan kecilnya tersepit dengan kuat sehingga jari kelengkeng kelihatan seperti membengkok.

“Nasib baik seorang pengunjung menekan butang berhenti kecemasan pada bahagian bawah tangga berkenaan.

"Orang ramai mengerumuni mangsa untuk membantu namun tidak berjaya,” katanya.

Difahamkan ketika kejadian itu, ibu mangsa yang berusia 30-an sedang memilih bingkai cermin mata di sebuah kedai bersebelahan eskalator tersebut manakala mangsa pula di bawah pengawasan bapanya.

Bayi itu juga dikatakan tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan terperinci di hospital tersebut.

Rakaman kejadian itu turut tular di aplikasi WhatApps semalam yang memaparkan bayi tersebut menangis sekuat hati dengan sebelah tangannya tersepit pada eskalator terbabit.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian hari ini mendapati sistem tangga bergerak tersebut tidak beroperasi dan diletakkan papan tanda amaran bahaya serta tangga sedang diselenggara. - SINAR HARIAN.

bayi, eskalator, tersepit

Artikel Lain