suria

Fasa pertama bayaran BSH sebanyak RM300 diagih mulai 20 Januari

Peruntukan yang terlibat adalah sebanyak RM1 bilion dan memanfaatkan hampir 3.8 juta penerima BSH kategori isi rumah.

PEMBAYARAN fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 sebanyak RM300 bagi kategori isi rumah yang berdaftar dalam pangkalan data BSH 2019 akan dilaksanakan mulai 20 Januari ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata peruntukan yang terlibat adalah sebanyak RM1 bilion dan memanfaatkan hampir 3.8 juta penerima BSH kategori isi rumah.

"Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank semasa BSH 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Golongan B40 yang terima BSH boleh semak kelayakan subsidi petrol mulai hari ini

Beliau berkata penerima BSH di kawasan pedalaman bagi kategori isi rumah yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran pada tarikh yang sama, manakala bagi penerima pedalaman yang tiada akaun pula akan dibuat mulai 1 Februari (2020) secara tunai.

Lim berkata pangkalan data BSH 2019 telah melalui beberapa proses tapisan daripada agensi kerajaan antaranya status pemilikan kenderaan yang realistik bagi golongan berpendapatan rendah (B40) bagi memastikan mereka yang memerlukan sahaja menerima BSH 2020.

Bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, Lim berkata tempoh permohonan dan pengemaskinian akan dibuka mulai 1 Februari hingga 15 Mac 2020.

Selain kategori isi rumah, permohonan untuk BSH 2020 juga dibuka bagi kategori bujang berumur 40 tahun dan ke atas seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020," katanya.

Pemohon tidak perlu membuat permohonan baharu atau kemas kini sekiranya permohonan BSH 2019 lulus dan tiada sebarang perubahan maklumat serta orang kurang upaya (OKU) yang tersenarai sebagai penerima e-Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya.

Bagaimanapun, katanya pemohon perlu membuat permohonan baharu atau kemas kini sekiranya belum membuat pendaftaran permohonan BSH (kategori baharu), permohonan BSH 2019 yang tidak lulus dan menepati syarat kelayakan BSH 2020, dan permohonan OKU yang tidak tersenarai sebagai e-Bantuan JKM dan menepati syarat kelayakan BSH 2020.

"Setelah pangkalan data BSH 2020 dikemas kini, baki pembayaran BSH 2020 bagi kategori isi rumah akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga, manakala bagi kategori bujang dan OKU pula akan disalurkan secara sekali beri pada fasa kedua,” katanya.

"Dengan adanya proses permohonan dan pengemaskinian ini, sebahagian daripada kalangan yang tidak lulus dan belum menerima BSH masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi semula," katanya.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan untuk meneruskan program BSH bagi menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup mereka.- BERNAMA

Bantuan Sara Hidup, B40, Lim Guan Eng

Artikel Lain