MALAYSIA bersedia membawa pulang rakyat Malaysia yang kini berada di Wuhan berikutan wabak 2019 novel koronavirus jika dibenarkan kerajaan China, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk tujuan itu, beliau berkata kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China. "Mereka (rakyat Malaysia) sekarang tidak boleh keluar dari Wuhan tetapi kita ingin runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke Malaysia," katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet, di Putrajaya pada Rabu. Menurut Dr Mahathir, terdapat 78 rakyat Malaysia di Wuhan ketika ini. Jika dibenarkan pulang oleh kerajaan China, rakyat Malaysia berkenaan akan dikuarantin terlebih dahulu bagi memastikan mereka tidak dijangkiti koronavirus, sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, katanya. "Mereka akan tertakluk kepada 14 hari kuarantin bagi menentukan mereka tidak menghidap jangkitan virus tersebut " kata beliau. Perdana Menteri berkata Malaysia juga ingin menghantar barangan bantuan berupa makanan, penutup hidung dan mulut serta sarung tangan ke Wuhan. Katanya ini berikutan terdapat laporan bahawa rakyat Malaysia mempunyai bekalan makanan yang mencukupi hanya untuk empat hari sahaja. "Kita berminat juga untuk bantu Wuhan, jadi kalau kita terpaksa hantar kapal terbang untuk ambil balik rakyat kita, kalau dibenar oleh kerajaan China, kita akan bawa makanan, sarung tangan dan penutup hidung dan mulut kalau kita ada, sebab di sana pun dah kekurangan bekalan," jelasnya. Ditanya secepat mana rakyat Malaysia di Wuhan boleh dibawa pulang, Dr Mahathair berkata ini bergantung kepada kebenaran daripada kerajaan China. " Kerana Jepun telah membawa pulang rakyatnya dengan kebenaran kerajaan China" katanya. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Malaysia akan meneruskan larangan kemasukan ke atas pelawat dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei ke Malaysia sama ada terbukti sakit ataupun tidak. "Kalau mereka dari Wuhan dan Hubei, mereka tidak dibenarkan masuk Malaysia tetapi pelawat dari tempat lain dibenarkan masuk," katanya. Ditanya sama ada perlu dipasang mesin pengimbas suhu di pintu pelepasan, Dr Mahathir berkata kerajaan hanya bimbang terhadap orang yang memasuki Malaysia. “Kita hendak mencegah orang yang sakit daripada masuk, jika mereka hendak keluar kita tidak periksa mereka,”katanya. Ditanya mengenai keadaan tujuh warga China yang didapati positif dengan coronavirus, Dr Mahathir berkata setakat ini gejala penyakit itu tidak memburuk. “Keadaan mereka tidak memburuk, mereka masih berada di hospital dan akan tinggal beberapa hari lagi. Setakat ini gejala itu tidak semakin buruk,” katanya. Dalam masa sama, Dr Mahathir kesal dengan larangan yang dikenakan ke atas pelawat asing bukan Islam untuk memasuki masjid di negara ini susulan kebimbangan terhadap jangkitan koronavirus. "Ini bukan dasar kerajaan. Kerajaan tidak isytihar muzium, masjid tidak boleh dilawati kerana kononnya pelancong dari China mungkin bawa penyakit ke tempat ini," katanya. Perdana Menteri turut menyelar tindakan sesetengah pihak menyebarkan berita palsu mengenai jangkitan koronavirus bagi menakut-nakutkan orang ramai serta mencetuskan perasaan benci antara kaum. “Kebebasan akhbar terus kekal di negara ini tetapi menyebarkan berita palsu, menyatakan perkata dusta, semua perkara ini untuk menimbulkan masalah di Malaysia tidak akan diterima dan kami akan mengambil tindakan terhadap mereka, "katanya. - BERNAMA