HUKUMAN yang lebih berat akan dikenakan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, serta pemandu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook selepas kabinet pada Rabu bersetuju untuk meminda undang-undang bagi kesalahan berkenaan. Loke berkata tiga seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula bagi memperketatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman yang lebih berat. ARTIKEL BERKAITAN: Hancur gerai burger dirempuh pemandu mabuk, peniaga bagai ada ‘sixth sense’ sempat peluk anak 5 tahun – “Jarak kereta hanya sejengkal, tak dapat bayangkan kalau…” Tambah Loke, kementeriannya akan memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan agensi berkaitan untuk membolehkan pindaan itu dibawa ke Parlimen seawal Julai. Mengenai Seksyen 45 berhubung kepekatan alkohol pemandu yang dicadangkan dipinda, Loke berkata undang-undang di Malaysia buat masa ini mengenakan had alkohol pemandu 80 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 50 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah. "Peruntukan sekarang ini kurang ketat berbanding piawaian antarabangsa, WHO," katanya dalam sidang media pasca Kabinet di kementeriannya di Putrajaya, pada Rabu. Turut akan dipinda ialah Seksyen 41 mengenai pemanduan secara melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan kematian yang kini sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun; dan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000. Pindaan Seksyen 44 pula mengenai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan pengaruh dadah yang kini jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun atau tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak melebihi RM20,000. Mengulas cadangan kerajaan Taiwan untuk mengenakan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut, Loke berkata Malaysia tidak perlu mengikut undang-undang negara lain. "Kita ada undang-undang sendiri, tidak semestinya perlu ikut undang-undang negara lain. "Itu yang kita akan bincang berdasarkan piawaian antarabangsa dan hukuman yang lebih berat dan ketat akan dikenakan tapi apakah jenis hukuman itu, perlu kita dapatkan dahulu input daripada pelbagai pihak," katanya. - BERNAMA