SEORANG lelaki maut selepas bergaduh dengan rakannya yang juga pemandu teksi di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Selasa. Mangsa dipercayai dipukul rakannya akibat tidak puas hati apabila salah seorang memotong barisan untuk mengisi gas asli kenderaan (NGV). Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata insiden itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi. "Kami menerima panggilan kecemasan dan pasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba dilokasi, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring," katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata berdasarkan siasatan dan keterangan dari saksi di lokasi kejadian, mangsa berusia 61 tahun dipercayai bergelut dengan seorang lagi pemandu teksi. "Mayat dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz untuk proses bedah siasat," katanya. Mohamed Mokhsein berkata, suspek berusia 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Katanya, motif kejadian masih disiasat dan polis akan melakukan rakaman awal percakapan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. Gambar mangsa berlumuran darah turut tular di aplikasi WhatsApp. - The Star