suria

Jho Low dan pegawai kanan Petrosaudi didakwa, waran tangkap diserah kepada Interpol - SPRM

SPRM serahkan waran tangkap tiga tertuduh kepada Interpol untuk tindakan lanjut.

MALAYSIA memulakan tindakan mendakwa ahli perniagaan kontroversi, Jho Low; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petrosaudi International Ltd, Tarik Essam Ahmad Obaid dan pengarah syarikat itu, Andrew Marc Anthony.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, kesemua individu tersebut dituduh atas dua pertuduhan termasuk bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan rasuah.

"Mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam, namun Majistret S Mageswary mengeluarkan waran tangkap terhadap kesemua tertuduh kerana tidak hadir pada prosiding itu.

"Waran tangkap dikeluarkan bagi membolehkan tertuduh menghadiri perbicaraan tapi memandangkan mereka berada di luar negara, notis peringatan dihantar kepada Interpol," katanya selepas Simposium Gender Mainstreaming And Women Empowerment to Fight Corruption (SPRM).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho bersama-sama Tarik Essam dan Marc Anthony didakwa bersubahat dalam konspirasi jenayah dengan Najib menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan balasan rasuah RM60,629,839.43.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Februari dan 14 Jun 2011.

Tarik Essam dan Marc Anthony turut berdepan dengan pertuduhan secara bersama-sama melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan menerima ASD3 juta daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didepositkan ke akaun milik 1MDB Petrosaudi sedangkan wang tersebut adalah hasil penyelewengan dana syarikat itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di JP Morgan (Suisse) SA, 8, rue de la Confédération, PO Box 5160, 1211 Geneva 11, Switzerland pada 30 September 2009. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.

Latheefa, SPRM, Jho Low

Artikel Lain