suria

Simbah minyak sebelum nyalakan api, bilal masjid melecur diserang lelaki bertopeng ketika hendak azan subuh

Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, (HSB) bagi mendapatkan rawatan. FOTO: Sinar Harian.

MALANG tidak berbau.

Begitulah yang dapat menggambarkan nasib seorang bilal berusia 65 tahun apabila dia melecur teruk akibat disimbah minyak pada awal pagi Rabu.

Menerusi kejadian di Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat, Alor Setar, Kedah, Amri Budin hadir ke lokasi itu untuk mengalunkan azan solat Subuh sebelum didatangi suspek yang kemudiannya menyimbah minyak pada tubuhnya lalu menyalakan api.

Menurut menantu mangsa, Jarina Awang, bapa mentuanya mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka, tangan dan sebelah kiri tubuhnya.

"Seperti biasa ayah menunggang motosikal pergi ke masjid. Pagi tadi selepas sampai di masjid, ayah berjalan-jalan di luar masjid untuk melihat kain rentang mengenai satu kuliah agama.

"Tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang seorang individu memakai topeng muka datang ke arah ayah lalu menyimbah minyak dan menyalakan api ketika ayah sedang membaca maklumat pada kain rentang itu,"katanya

Kata Jarina, jemaah masjid yang menyedari kejadian itu segera membantu memadamkan api dan membuka baju bapa mertuanya sebelum salah seorang daripada mereka menghubungi seorang lagi anak mangsa, Shahrizal, 41.

Menurutnya, abang iparnya itu kemudian datang ke masjid tersebut bersama isterinya untuk membawa bapa mentuanya ke Hospital Sultanah Bahiyah, (HSB) bagi mendapatkan rawatan.

Lelaki tersebut kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 9 pagi tadi, berhubung kejadian menimpa bapanya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan suspek. - Sinar Harian.

Amir Budin, bilal, simbah minyak, melecur

Artikel Sebelum

'Raja Jin' direman 14 hari

Artikel Lain