AHLI Parlimen (MP) yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa petang telah diminta mengisi satu borang dan memutuskan beberapa persoalan. Menurut MP Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, mereka diberi dua pilihan sahaja dalam pertemuan itu. ARTIKEL BERKAITAN: Sejarah tercipta! Agong ‘interview personally’ 221 MP dalam masa 2 hari sebelum putuskan PM ke-8 "Kita ada dua pilihan sama ada menamakan seorang perdana menteri atau bubarkan parlimen," ujarnya. Menurut Ismail, dia bagaimanapun enggan mendedahkan pilihannya kerana berpegang kepada Surat Akaun Berkanun (SD) dan menyerahkan segala keputusan kepada Yang di-Pertuan Agong. Selain Ismail, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut diajukan soalan sama oleh pihak media sejurus kenderaan dinaikinya beredar meninggalkan Istana Negara. Menurut Najib, pertemuan yang berlangsung dalam tempoh beberapa minit itu berjalan lancar. "Alhamdulillah bagus. Seorang-seorang, beberapa minit setiap seorang," ujarnya ringkas menolak untuk mengulas lanjut. Terdahulu, MP Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengulas perkara sama. Ujarnya, dia diminta memilih ahli parlimen yang disokong untuk dilantik sebagai perdana menteri kelapan. "Tidak berbincang, cuma isi borang siapa yang kita hendak jadi perdana menteri," katanya ketika ditemui media sebaik keluar dari Istana Negara pada jam 4.45 petang tadi. Ketika ditanya siapa yang beliau pilih, Fadilah menjawab ringkas dengan menyebut Tun Dr Mahathir Mohamad. Sementara itu, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata, temu ramah itu berjalan dengan baik dan lancar. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memilih untuk tidak memberi sebarang komen. Turut dilihat keluar dari Istana Negara selepas menghadap Agong adalah Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau. Dilaporkan pada hari ini sekurang-kurangnya 90 ahli parlimen akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengetahui ahli parlimen yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri kelapan.