BLOK pembangkang tampil menyatakan pendirian terkini susulan kemelut politik yang melanda negara ketika ini. Gabungan Muafakat Nasional melibatkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) merangkumi Umno, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain PAS telah sebulat suara mengemukakan cadangan supaya Parlimen dibubarkan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa. Wakil gabungan itu, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ketua Penerangan Umno berkata mandat harus dikembalikan kepada rakyat selepas mendapat maklum bahawa perdana menteri interim akan membentuk kerajaan perpaduan. "Kalau benar ia akan berlaku maka secara prinsip ia banyak bercanggah dengan dasar ditetapkan parti kami. Yakni apa perkiraan membentuk kerajaan mestilah berdasarkan parti bukan individu. "Unity government itu dibentuk dengan perdana menteri memilih individu bukan mengikut parti bagi membentuk barisan Kabinet dan ia bercanggah dengan pendirian parti kami," kata Ahli Parlimen Ketereh itu dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Selasa. Cadangan berkaitan penubuhan kerajaan perpaduan itu disampaikan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua parti politik di pejabat perdana menteri di Putrajaya pada Selasa. Menurut beliau, pembentukan kerajaan perpaduan yang melibatkan DAP adalah tidak adil kepada rakyat kerana melanggar prinsip amalan demokrasi berparlimen. "Ia tidak menghormati suara parti sebaliknya individu dan timbul konflik kerana penglibatan pihak tertentu bercanggah dengan kami. Kami tak mahu bersekongkol dan tidak akan menyertai kerajaan (perpaduan) ini. "Oleh itu setelah berbincang maka sidang media ini diadakan supaya mandat dikembalikan kepada rakyat dan kita mohon Parlimen dibubarkan. "Biarlah rakyat menentukan. Sebarang penyelesaian idea cara-cara baharu walaupun nampak sebaik mana pun menggadaikan masa depan rakyat. Kita merasakan nasib rakyat tidak boleh dipolitikkan," katanya. Malah Annuar berkata ketetapan gabungan itu menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk membentuk satu kerajaan baharu tanpa DAP pada Ahad lalu terbatal. "Maka sewaktu kita menghadap Yang di-Pertuan Agong tadi, kita telah membuat ketetapan sokongan kepada PM untuk membentuk satu gabungan tanpa DAP terpaksa kita tarik balik," katanya.