“SAYA mohon seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini (Sabtu)” Demikian kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengulas mengenai keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan memilihnya sebagai Perdana Menteri ke-8. ARTIKEL BERKAITAN: Terjawab sudah... Agong pilih Muhyiddin sebagai PM ke-8, angkat sumpah esok Dalam ucapan ringkasnya kepada media di pekarangan kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, Muhyiddin turut menzahirkan kesyukuran dan terima kasih selepas mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah untuk mengisi jawatan berkenaan. “Saya menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada saya. “Kita telah pun beristiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah yang diberikan Allah kepada saya,” katanya dipetik Berita Harian Muhyiddin menzahirkan kesyukuran atas perkenan Agong melantiknya sebagai Perdana Menteri. Muhyiddin turut ditemani isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman, anak serta cucunya ketika bertemu media yang ‘berkampung’ di hadapan kediamannya bagi mendapatkan reaksi susulan pelantikan tersebut. Tanda tanya mengenai calon Perdana Menteri ke-8 akhirnya terjawab selepas Al-Sultan Abdullah berkenan memilih Muhyiddin untuk mengisi jawatan berkenaan. Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Istana Negara, sebentar tadi. Kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin itu turut berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan perdana menteri akan diadakan 10.30 pagi Ahad.