suria

Politik semasa: Tiada cuti umum pada Isnin - JPM

Jabatan Perdana Menteri menjelaskan bahawa tidak ada cuti umum pada hari Isnin (2 Mac) sempena perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

PERKEMBANGAN politik tanah air hampir tiba ke penghujung apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisi jawatan Perdana Menteri kelapan pada Sabtu.

Pada hari ini, Muhyiddin dijangka mengangkat sumpah di Istana Negara pada 10.30 pagi.

Ikuti perkembangan semasa hari ini.

8.20 malam: Tan Sri Muhyiddin keluar dari rumahnya dan mengedarkan pizza kepada media. Dia enggan menjawab apa-apa soalan dan berkata tidak akan ada lagi kenyataan yang dikeluarkan malam ini (Ahad).

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengedarkan piza kepada petugas media. Foto: The Star

8.09 malam: Penganjur mengumumkan bahawa perhimpunan berakhir.

7.25 malam: Jabatan Perdana Menteri menjelaskan bahawa tidak ada cuti umum pada hari Isnin (2 Mac) sempena perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

7.20 malam: Orang ramai beralih dari Sogo ke Dataran Merdeka.

6.55 petang: Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir menggesa generasi muda Malaysia mempertahankan demokrasi. Aktivis dan peguam Datuk Ambiga Sreenevasan pula menggesa sidang parlimen diadakan segera.

Datin Paduka Marina Mahathir ketika berucap di demonstasi berhampiran Sogo.

6.30 petang: Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia masih menghormati bekas pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad, kata ketua sayap wanitanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

6.15 petang: Pakatan Harapan (PH) akan membuat laporan polis terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa menipu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai sokongan yang diperoleh untuk beliau diangkat selaku perdana menteri, demikian kata Ketua Whip PH, kata ketua gabungan Datuk Johari Abdul.

6.00 petang: Kehadiran polis di Sogo menjelang demonstrasi yang dirancang berhampiran pusat membeli-belah itu.

5.46 petang: Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana.

5.20 petang: Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Hilman Idham, yang juga Adun Gombak Setia, telah dipecat daripada PKR berikutan keputusan mesyuarat majlis pimpinan pusat parti itu.

4:42 petang: Polis mengatakan mereka telah menahan seorang suspek kerana menyerang Tian Chua, dan menjangkakan lebih ramai tangkapan dilakukan.

Pemimpin PKR, Tian Chua diserang penyokong parti kerana dilabel pengkhianat.

3.40 petang: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghadiri protes yang dijadualkan berlangsung di hadapan pusat membeli belah Sogo pada petang Ahad (1 Mac).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asistan Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata tiada notis dihantar untuk perhimpunan itu.

3.00 petang: Walaupun 11 Ahli Parlimennya keluar parti, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa parti itu tetap utuh.

"Parti itu utuh. Kesemua 39 Ahli Parlimen di sini, ADUN dan seluruh kepimpinan. Sudah tentu mereka menyatakan penyesalan kerana mereka tidak mengetahui usaha menerusi pintu belakang yang dilakukan oleh beberapa pemimpin dalam parti itu.

"Mereka merasa dikhianati," kata Anwar kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Merchant Square.

2.40 petang: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memberitahu Berita Harian bahawa sidang Parlimen pada 9 Mac mungkin ditangguhkan.

1:30 petang: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta maaf kepada rakyat Malaysia di Twitter.

"Saya minta maaf kerana gagal, saya cuba, saya cuba menghentikan mereka, Maaf Malaysia," katanya.

1.00 petang: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat pada Ahad memohon agar sidang pertama bagi penggal ketiga Parlimen pada 9 Mac ini diteruskan seperti yang dijadualkan.

Menerusi kenyataan, Majlis Presiden PH menyatakan keputusan itu dibuat dengan sokongan 112 Ahli Parlimen.

"Ini adalah peluang terbaik untuk menentukan sokongan kepada perdana menteri dan seterusnya menamatkan kemelut politik negara yang tidak menentu sekarang," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut melantik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai ketua setiausaha PH yang baharu, menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah yang keluar PKR pada 24 Feb lepas.

12.00 tengah hari: Datuk Seri Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin.

"Perjuangan kami selama seminggu untuk membentuk sebuah kerajaan baharu telah berjaya," demikian kata Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan.

Azmin menerusi laman Facebook memanjatkan kesyukuran kerana mendapat sokongan majoriti sehingga teka-teki mengenai individu yang bakal menjawat jawatan perdana menteri akhirnya terungkai.

Azmin bersyukur kerana perjuangan membentuk kerajaan baharu akhirnya tercapai.

"Perjuangan ini melalui saat-saat getirnya namun akhirnya kita mendapat dukungan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

"Kami bertekad untuk membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara," ujarnya.

Kata Azmin, dia juga komited terhadap agenda nasional untuk memacu kebangkitan ekonomi, menjamin kemakmuran, memelihara keselamatan dan kedaulatan negara serta memperkukuh perpaduan rakyat dan reformasi institusi.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas mandat yang diberi kepada beliau sebagai perdana menteri dan membentuk sebuah kerajaan yang baharu.

"Beliau adalah seorang pemimpin yang berwibawa, berpengalaman serta berintegriti," ujarnya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah, pukul 10.33 pagi.

Terdahulu pada Sabtu, Istana Negara mengumumkan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai perdana menteri negara.

Pelantikan tersebut diperkenan Al-Sultan Abdullah dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Paduka Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin pada Sabtu.

12.00 tengah hari: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menjadi orang pertama meninggalkan Istana Negara.

11.28 pagi: Dr Mahathir tiba di kediamannya di The Mines Residence, Seri Kembangan.

10.33 pagi: Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan di Istana Negara.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah dalam istiadat yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil.

10.00 pagi: Muhyiddin tiba di Istana Negara.

9.40 pagi: Tan Sri Muhyiddin Yassin berangkat ke Istana Negara untuk upacara angkat sumpah.

9.00 pagi: Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media khas di bangunan Yayasan Al-Bukhary.

8.30 pagi: Kenderaan yang membawa beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tiba di Yayasan Al Bukhary.

Artikel Lain