suria

Tun M dakwa haknya dinafikan, langkah seterusnya... undi tak percaya di Dewan Rakyat

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media khas, pagi Ahad.

MENJELANG upacara angkat sumpah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan pada pagi Ahad, Tun Dr Mahathir Mohamad terlebih dahulu tampil menerusi sidang media khas bagi memperjelaskan kemelut semasa politik tanah air.

Menurut Dr Mahathir, dia akan turun padang bagi menjelaskan situasi sebenar yang mana beliau sudah mendapat sokongan majoriti, namun dinafikan hak untuk menjadi perdana menteri.

"Kami (Pakatan Harapan) mempunyai majoriti, 114 Ahli Parlimen (MP) yang menyokong kami namun ia nampaknya tidak diendahkan. Muhyiddin mengakui ada sokongan penuh semua MP Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi enam orang tolak untuk menyokong mereka termasuk saya.

ARTIKEL BERKAITAN: PH dakwa 114 Ahli Parlimen tandatangan SD sokong Tun M sebagai PM

ARTIKEL BERKAITAN: Tolak kerajaan pintu belakang, Majlis Presiden PH sepakat sokong Tun M sebagai perdana menteri ke-8

"Tetapi dia mendakwa kami bersamanya dan dia ada majoriti. Dia tidak ada majoriti. Apa yang kami boleh lakukan sangat terhad, kami akan beritahu orang awam bahawa kita ada majoriti, Muhyiddin bagi info salah sedangkan dia tiada majoriti," ujarnya menerusi sidang media di Bangunan Yayasan Al Bukhary pagi ini.

Tiada pilihan lain, Dr Mahathir turut mengumumkan dia melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri interim dan memberi laluan kepada Muhyiddin yang dijadual mengangkat sumpah pada pukul 10.30 pagi ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menggesa sidang Dewan Rakyat dipercepatkan, bagi membolehkan MP mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

"Situasi ini sangat pelik apabila pihak yang kalah dapat membentuk kerajaan. Saya ada akuan berkanun (SD) dan surat daripada MP yang menyatakan sokongan kepada saya.

"Muhyiddin akan angkat sumpah sebab sudah diputuskan. Kita tunggu sidang Dewan Rakyat untuk usulkan undi tidak percaya," ujarnya.

Mengakui masih lagi memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir turut menjelaskan sukar untuk pihaknya menyampaikan perkara sebenar kepada Istana Negara memandangkan hasratnya untuk menghadap tidak mendapat perkenan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan untuk tidak berjumpa dengan saya lagi.

"Itulah situasi sekarang. Saya tidak dapat berkomunikasi dengan pihak Istana Negara. Saya tidak ada peluang untuk memberitahu bahawa Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti," ujar Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyifatkan dirinya telah banyak dikhianati Muhyiddin.

Ditanya sama ada beliau marahkan Datuk Seri Azmin Ali, katanya, ahli Parlimen Gombak itu sememangnya mempunyai agenda tersendiri sehingga menyebabkan PH tumbang sebagai kerajaan yang dipilih secara sah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

"Azmin ada agenda sendiri tetapi saya rasa lebih dikhianati oleh Muhyiddin," ujarnya lagi.

Dakwanya lagi, Muhyiddin turut menyalahkan DAP atas beberapa kekalahan pilihan raya kecil sebelum ini dan memujuknya agar Bersatu tidak bekerjasama dengan parti itu.

Dr Mahathir turut memperincikan senario dalam parti Bersatu sehingga tumbangnya kerajaan gabungan PH tempoh hari.

Dr Mahathir enggan bekerjsama dengan pemimpin Umno yang sedang didakwa di mahkamah.

"Katanya (Muhyiddin) ini kerana DAP. Orang Melayu percaya bahawa DAP yang kawal kerajaan, dan saya kononnya mengikut telunjuk (Lim) Guan Eng.

"Ini semua tidak benar, tapi inilah kecekapan Najib (Razak) sehingga mereka tidak lagi nampak Najib sebagai bersalah.

"Mereka bersedia untuk mencium tangan Najib, mereka mengakui dia sebagai bossku... Ini keadaan sebelum masalah sekarang timbul.

"Kenapa saya nak tolak PH yang memberikan sokongan penuh? (Kenapa) saya tolak PH dan terima Najib?" katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian untuk menerima pemimpin politik dari Umno secara individu, bukannya secara en bloc.

"Ini saya tak dapat terima. Memang ahli Umno ada yang tak bersalah, tapi yang bersalah ada juga, ada yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Saya minta supaya diberi masa... kalau bukan sekarang, kalau kita tak percaya DAP, kita kena cari jalan kuatkan Bersatu.

"Tapi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, di sebalik rayuan saya agar tidak dibuat keputusan sekarang, akhirnya Bersatu buat keputusan keluar PH," katanya.

Ujar Mahathir lagi, dia juga enggan bekerjasama dengan pemimpin Umno yang sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah.

"Kalau mereka tak bersalah, ya... tetapi kalau mereka didapati bersalah nanti, saya tak boleh bekerja dengan mereka," katanya.

Tambahnya, jika keputusan menerima Umno secara en bloc itu dibuat sekarang, ia bermakna Bersatu memasukkan Najib Razak serta tokoh lain yang sedang didakwa.

"Dan mahkamah mungkin teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin kerajaan.

"Kita pernah nampak keadaan begini semasa zaman Najib," katanya.

Artikel Lain