suria

Istana Negara: “Rampasan kuasa diraja” dalam artikel The Guardian mengelirukan, berat sebelah

Istana Negara menegaskan artikel dalam ruangan lidah pengarang The Guardian mengelirukan dan bersifat berat sebelah.

ARTIKEL dalam ruangan lidah pengarang bertajuk “The Guardian view on a royal coup: a king overturns a historic election” diterbitkan pada 3 Mac oleh akhbar harian Britain, The Guardian adalah mengelirukan, demikian penegasan Istana Negara, pada Ahad.

Datuk  Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata pertama sekali Istana Negara ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di Malaysia dan luar negara yang telah memberikan respons segera terhadap artikel itu.

Beliau berkata sokongan padu dan tidak berbelah-bahagi yang diberikan oleh semua rakyat Malaysia akan mendorong Istana Negara untuk bekerja lebih keras dalam menjalankan tanggungjawabnya, selaras dengan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjawab sudah... Agong pilih Muhyiddin sebagai PM ke-8, angkat sumpah esok

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai angkat sumpah, Muhyiddin kini secara rasmi PM ke-8

"Sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, saya terkejut dengan ketidaktepatan dan nada mengelirukan artikel dalam ruangan lidah pengarang oleh syarikat media terkemuka berpangkalan di UK ini, khususnya atas hakikat bahawa perkara pokok, Demokrasi Berparlimen Malaysia adalah berdasarkan sistem Westminster.

"Lidah pengarang ini telah memaparkan laporan yang mengelirukan tentang proses pelantikan Perdana Menteri baharu oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Bagi memberi penjelasan tentang ketidaktepatan berkenaan, Ahmad Fadil berkata beliau ingin menegaskan perkara berikut:

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terikat dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk memilih dan melantik seorang Perdana Menteri susulan peletakan jawatan oleh seorang Perdana Menteri dan Kabinetnya.

Oleh itu, apabila Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kepada Seri Paduka pada tengah hari 24 Februari 2020 bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan meletak jawatan, Seri Paduka dengan itu seperti ditetapkan dalam Perkara 40 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan  Malaysia boleh bertindak mengikut budi bicara baginda untuk melantik seorang Perdana Menteri.

Seri Paduka juga menurut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan boleh melantik Perdana Menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Yang jelas, Istana Negara telah melaksanakan kewajipannya dengan mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat dan pemimpin parti-parti politik, sebelum Seri Paduka membuat keputusan muktamad.

"Sudah jelas, Seri Paduka telah memberikan perhatian penuh teliti terhadap perkara rumit itu,” kata Ahmad Fadil.

Beliau berkata hanya selepas proses perundingan yang teliti dan terbuka,  dan mematuhi sepenuhnya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka telah bertindak mengikut budi bicara baginda seperti ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Perdana Menteri baharu.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil menegaskan proses itu tidak boleh dianggap sebagai “rampasan kuasa diraja” seperti yang dipersoalkan oleh The Guardian, dan menambah akhbar harian itu cenderung untuk bersikap amat berat sebelah dalam lidah pengarangnya.

Istana Negara turut  merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia) dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London atas tindakan segera mereka menyangkal artikel itu, untuk perhatian pihak The Guardian.

"Saya juga amat berbangga dengan inisiatif  cemerlang diambil oleh rakyat Malaysia daripada semua bangsa dan juga parti-parti politik, termasuk ahli politik kanan dan Ahli Parlimen yang memberikan respons secara terus kepada The Guardian.

Tindakan semua individu ini menunjukkan rakyat marah dengan fakta tidak tepat dan niat jahat artikel itu.

"Kami dengan ini berharap The Guardian, dan syarikat akhbar berwibawa yang lain untuk lebih berhati-hari dalam laporan lidah pengarang mereka, dengan memberi tumpuan khususnya pada fakta dan keobjektifannya,” kata Ahmad Fadil.- BERNAMA

Artikel Lain