suria

Covid-19: Amalkan tanda hormat tanpa bersentuhan, perdana menteri pun dah mula buat!

Pemakaian topeng muka oleh orang ramai dilihat sudah menjadi kebiasaan sebagai langkah pencegahan susulan penularan COVID-19 di sekitar ibu kota. Foto Bernama (Gambar kecil) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamalkan tanda hormat tanpa bersentuhan.

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meningkat di Malaysia sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah bagi mengelak daripada dijangkiti virus itu.

Antaranya, selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), serta sentiasa membawa penutup mulut dan hidung.

KKM juga menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan orang ramai dan bergaul rapat dengan individu yang bergejala.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 lagi dijangkiti Covid-19, terkini Malaysia catat 129 kes

Pergaulan rapat itu termasuk bersentuhan seperti bersalam tangan yang menjadi budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Dr Adham (tiga, kiri) menunjukkan gaya tanda hormat menggantikan cara bersalam dengan orang ramai bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 semasa melakukan lawatan pertamanya ke KLIA bagi meninjau mesin saringan yang terdapat di lapangan terbang berkenaan. Turut hadir, Timbalan Menteri I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tiga kanan), Timbalan Menteri II, Datuk Aaron Ago Dagang (dua kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Mi (kanan), Dr Noor Hisham (dua, kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon (kiri). Foto Bernama

Susulan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut memperkenalkan amalan tanda hormat lain bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, amalan itu adalah tidak berjabat tangan mahupun bersentuhan semasa bertemu dengan orang lain tetapi masih menunjukkan tanda hormat.

“Letakkan tangan kanan di dada kiri sebagai tanda hormat dengan ucapan salam, menggantikan bersalaman dan bersentuhan,” tulisnya menerusi akaun Twitter miliknya, @DGHisham.

Menerusi perkongsian itu, beliau turut memuat naik foto Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melakukan amalan itu dengan meletakkan tangan kanan di dada kiri sebagai tanda hormat.

Muhyiddin (kiri) turut menunjukkan gaya tanda hormat menggantikan cara bersalam. Foto Twitter DGHisham

Menurut Dr Noor Hisham, amalan tersebut juga merupakan lambang logo budaya KKM iaitu ‘Kami sedia membantu’.

Rata-rata netizen turut bersetuju dengan pendekatan yang diperkenalkan oleh Dr Noor Hisham.

“Idea yang bernas! Terima kasih kerana berkongsi,” ujar seorang netizen.

“Setuju sangat,” komen yang lain.

Setakat Selasa, jumlah keseluruhan kes Covid-19 adalah seramai 129 orang.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi sidang media.

Artikel Lain