SEBUAH salun rambut di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur mengesahkan seorang pelanggannya positif Covid-19. Pengurusan A-Saloon dalam satu kenyataan memaklumkan seorang pelanggan yang dijangkiti virus itu berkunjung ke premis tersebut di Melawati Mall pada 2 Mac. “Seorang pelanggan berkunjung ke cawangan A-Saloon di Melawati Mall pada 2 Mac dan dikatakan pelanggan tersebut disahkan dijangkiti Covid-19,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di halaman Facebook A-Saloon, pada Selasa malam. ARTIKEL BERKAITAN: 12 lagi dijangkiti Covid-19, terkini Malaysia catat 129 kes ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! KWSP Jalan Raja Laut KL ditutup sementara selepas dikunjungi ahli positif Covid-19 Sehubungan itu, operasi salon itu di Melawati Mall dihentikan buat sementara, serta-merta berikutan pemberitahuan kes itu pada 10 Mac. “Langkah-langkah segera sedang diambil bersama dengan pasukan operasi Melawati Mall untuk membersihkan dan disinfeksi cawangan serta semua peralatan di premis. “Kami juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan untuk mengambil semua langkah pencegahan yang perlu, termasuk menghantar kakitangan untuk menjalani pemeriksaan di kemudahan kesihatan yang ditetapkan. “Premis kami di Melawati Mall akan ditutup sehingga semua kerja-kerja kuarantin telah dilakukan," tambah kenyataan itu. Kenyataan pengurusan A-Saloon. Menurut A-Saloon, semua cawangan lain tidak terjejas ekoran insiden berkenaan dan terus beroperasi seperti biasa. Sementara itu, Melawati Mall dalam satu kenyataan di halaman Facebooknya turut memaklumkan mengenai insiden yang berlaku di salah satu premis penyewanya. Menurut pusat beli belah itu, pembersihan dan sanitasi dilakukan secara mendalam dan menyeluruh di premis penyewa serta kawasan umum di sekeliling akan dijalankan mengikut garis panduan daripada pihak berkuasa kesihatan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Melawati Mall. “Sebagai langkah berjaga-jaga, A-Saloon ditutup sementara sehingga diumumkan kelak. “Bagi pihak kami, pembersihan dan disinfeksi dipertingkatkan di kawasan umum gedung, termasuk lif dan tandas. “Keselamatan dan kesejahteraan pengunjung, penyewa dan pekerja adalah keutamaan kami. Kami bersedia untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya. Setakat Selasa, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini seramai 129 orang.